Turkiye tidak luluskan kerjasama dengan Israel dalam NATO - Erdogan

Recep Tayyip Erdogan
Recep Tayyip Erdogan
A
A
A

WASHINGTON - Cubaan untuk bekerjasama dengan Israel dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) adalah "tidak boleh diterima," kata Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada Khamis.

"Pentadbiran Israel yang telah melanggar nilai asas pakatan ini tidak boleh terus bekerjasama dengan NATO," kata Erdogan dalam satu sidang media di Washington selepas menghadiri sidang kemuncak pemimpin-pemimpin NATO.

Pakatan pertahanan itu terdiri daripada 32 anggota dan mengekalkan hubungan dengan banyak negara bukan anggota serta organisasi antarabangsa.

Erdogan menekankan kekejaman Israel di wilayah Palestin yang diduduki terutamanya di Gaza semasa perbincangan di luar sidang kemuncak itu.

"Cubaan kerjasama dengan Israel dalam NATO tidak akan diluluskan oleh Turkiye, sehingga perdamaian dapat diwujudkan di Palestin.

"Adalah penting anggota masyarakat antarabangsa berganding bahu terhadap penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin berdasarkan garis sempadan 1967," katanya.

Erdogan juga menzahirkan kegembiraannya bahawa semakin banyak negara mengiktiraf Palestin dan menggesa negara-negara lain mengemukakan aduan terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Erdogan turut menekankan keperluan untuk memperkukuh kerjasama antara sekutu NATO dalam memerangi keganasan.

Artikel Berkaitan:

Ankara mengharapkan solidariti daripada sekutunya dalam memerangi keganasan, satu daripada dua ancaman utama yang dikenal pasti oleh NATO, kata Erdogan. - Bernama-Anadolu

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!