Sindiket pelaburan ayam kampung janji pulangan RM13 sebulan tumpas

Paparan gambar barang rampasan membabitkan kes tipu pelaburan ayam kampung.
Paparan gambar barang rampasan membabitkan kes tipu pelaburan ayam kampung.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket penipuan pelaburan ayam kampung tumpas susulan penahanan 11 individu dalam serbuan di beberapa negeri pada 26 Jun lalu.

Serbuan di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Terengganu dan Labuan itu menahan kesemua suspek berusia 38 hingga 56 tahun yang berperanan sebagai pengasas, pengarah, setiausaha, kerani, ejen serta sukarelawan yang menggunakan nama Pertubuhan Amal Kita Kinta, Perak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek terdiri daripada lapan lelaki dan tiga wanita.

Ramli dalam sidang akhbar di Menara KPJ pada Jumaat. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ramli dalam sidang akhbar di Menara KPJ pada Jumaat. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Menurutnya, polis telah merampas 13 kenderaan pelbagai jenis bernilai RM2.9 juta, wang tunai RM1,000, 13 utas rantai emas, cincin emas (2), telefon bimbit (20), tablet (4) dan lain-lain.

"Tindakan sitaan turut dilaksanakan membabitkan 2,143 ekor kambing biri-biri baka shami serta 34 akaun bank dan unit amanah dengan nilai mencecah RM6.5 juta.

"Berdasarkan siasatan, sindiket ini beroperasi sejak awal tahun 2023 dengan menawarkan pelaburan kononnya berkaitan perniagaan ayam kampung," katanya ketika sidang akhbar di Menara KPJ di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, program perniagaan ini menawarkan pelaburan minimum RM250 dan dijanjikan pulangan sebanyak RM13 sebulan atau boleh ditukar dengan seekor ayam kampung.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, wang pelaburan itu akan dimasukkan ke dalam akaun bank yang didaftarkan atas nama pertubuhan terbabit.

"Bagaimanapun, bermula September 2023, pelabur-pelabur tidak lagi menerima keuntungan yang dijanjikan," ujarnya.

Pelbagai jenis kenderaan dirampas membabitkan siasatan sindiket penipuan pelaburan ayam kampung.
Pelbagai jenis kenderaan dirampas membabitkan siasatan sindiket penipuan pelaburan ayam kampung.

Jelas beliau, sehingga kini, 85 laporan polis telah diterima di seluruh negara melibatkan skim pelaburan ini dengan nilai kerugian mencecah RM3.2 juta.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Operasi terbabit dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Sekuriti (SC), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!