Keputusan tutup premis judi ambil kira semua langkah - Exco

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Mansor
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Mansor
A
A
A

ALOR SETAR - Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Negeri Kedah telah mengambil segala langkah yang perlu mengikut prinsip dan tatacara undang-undang dan Perlembagaan sebelum keputusan tidak membenarkan operasi premis judi di negeri ini dibuat.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, tempoh masa cukup lama diberikan bermula pada tarikh keputusan tidak membenarkan operasi premis judi dilaksanakan di Kedah diumumkan hingga ia dikuatkuasakan.

Beliau menjelaskan,Menteri Besar Kedah,Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membuat pengumuman pada 14 November 2021 bahawa kerajaan negeri tidak akan membenarkan premis judi beroperasi di Kedah hingga tarikh terakhir pada 31 Disember 2022.

"Tindakan itu dikuatkuasakan secara berperingkat dengan tidak meluluskan lesen premis judi yang baharu, selain tidak memperbaharui lesen premis yang tamat tempoh.

"Selain itu, proses rundingan turut dijalankan dengan pihak autoriti lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kewangan (MOF) selaku pengeluar lesen perjudian Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan, jawatankuasa ini telah mengambil segala langkah yang perlu mengikut prinsip dan tatacara undang-undang dan Perlembagaan sebelum keputusan itu dibuat.

Menurut Mansor, selaku pihak yang mengawal dasar kerajaan negeri dalam pelaksanaan tindakan tersebut, Pejabat Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Negeri Kedah menyanjung tinggi ketegasan Menteri Besar Kedah dalam mempertahankan keputusan telah dibuat bahawa kuasa untuk memberi lesen, membenarkan atau tidak membenarkan operasi premis judi adalah dibawah bidang pihak berkuasa tempatan (PBT) ataupun Kerajaan Tempatan.

Bagaimanapun, beliau menyatakan, pihaknya akur bahawa proses rayuan untuk membawa perkara ini ke Mahkamah Rayuan mahupun peringkat yang lebih tinggi adalah diperlukan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun 2024 yang membenarkan permohonan semakan semula keputusan pentadbiran kerajaan negeri yang tidak membenarkan operasi premis judi di Kedah bermula 1 Januari 2023.

Beliau menambah, pihaknya bersedia untuk mempertahankan prinsip pembahagian kuasa sebagaimana yang telah ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Mansor berkata, Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Negeri Kedah akan berdiri teguh bersama-sama dengan Menteri Besar Kedah dalam mempertahankan keputusan dan tindakan telah diambil kerajaan negeri dengan mengikut tatacara dan proses perundangan sewajarnya.

"Kami yakin bahawa proses perundangan seterusnya akan membawa sinar dan harapan dengan natijah positif kepada masyarakat di negeri ini bermoral dan cintakan keharmonian. Insya-ALLAH,"katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Kerajaan Kedah akan menggunakan saluran perundangan dalam mempertahankan keputusan menutup premis judi di negeri ini.

Ia susulan Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun lalu membenarkan permohonan semakan kehakiman dibuat bagi menghalang tindakan kerajaan negeri mengharamkan aktiviti perjudian berlesen.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!