Pahala rosak jika ungkit pemberian

USAH sesekali mengungkit pemberian dilakukan kerana ia bukan sahaja menghilangkan keikhlasan, tetapi juga merosakkan pahala dan merendah-rendahkan maruah penerima. -Foto: Canva
USAH sesekali mengungkit pemberian dilakukan kerana ia bukan sahaja menghilangkan keikhlasan, tetapi juga merosakkan pahala dan merendah-rendahkan maruah penerima. -Foto: Canva
A
A
A

HATI siapa tidak tergores jika hadiah diterimanya terus-menerus jadi bahan ungkitan si pengirim seolah-olah mereka tidak rela dan terpaksa memberi.

Disebabkan itulah perbuatan tersebut dilarang keras dalam Islam. Tidak kiralah sama ada ia disebut secara jelas dengan mulut mahupun tindak-tanduk kita.

Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Dr Nurzahidah Jaapar menjelaskan, mengungkit itu bukan sahaja akan menghilangkan keikhlasan, tetapi juga merosakkan pahala dan merendah-rendahkan maruah penerima.

Ia dinyatakan secara jelas menerusi hadis Rasulullah SAW: “Tidak dikatakan bersyukur pada ALLAH bagi sesiapa yang tidak tahu berterima kasih pada manusia.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)

DR NURZAHIDAH
DR NURZAHIDAH

Hadis itu menyokong dalil dalam surah al-Baqarah ayat ke-264: “Wahai orang beriman, janganlah kamu merosakkan pahala sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti perasaan penerima.”

“Dapat difahami bahawa anjuran Islam ini bertujuan untuk memelihara hubungan sesama masyarakat dan memuliakan martabat kedua-dua belah pihak,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Bukan itu sahaja, ujar ahli akademik tersebut, terlalu banyak dalil yang memerihalkan natijah buruk kepada kelompok yang suka mengungkit pemberian.

Dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim misalnya, jelas beliau, mereka yang melakukannya termasuk dalam tiga golongan yang tidak diajak bicara oleh ALLAH SWT pada hari kiamat kelak.

“Menerusi satu lagi hadis lain, Rasulullah SAW secara terang menjelaskan ‘Tidak halal bagi seseorang yang memberikan sesuatu kepada orang lain untuk mengambilnya kembali kecuali pemberian orang tua kepada anaknya’.

“Melihat kedua-dua sabda Baginda itu, jelas bahawa sifat dan kesan mengungkit pemberian lambang manifestasi kelemahan iman kerana ia merupakan satu sikap tercela,” terangnya.

Menuntut pemberian sikap dibenci agama

Dalam pada itu, Dr Nurzahidah mengingatkan agar kita tidak menuntut semula pemberian diberikan atau mempertikaikannya.

Perbuatan itu merupakan sikap yang dibenci oleh agama, ungkapnya.

“Suatu pemberian itu sebenarnya menzahirkan kemurahan hati, nilai kasih sayang dalam diri Muslim yang bermatlamat untuk menyenangkan hati orang lain dan mengeratkan silaturahim serta menghapuskan dosa antara mereka tanpa mengharapkan balasan.

ZAHIRKAN penghargaan dan ungkapan terima kasih terhadap pemberian yang diberikan kepada kita. -Foto: Canva
ZAHIRKAN penghargaan dan ungkapan terima kasih terhadap pemberian yang diberikan kepada kita. -Foto: Canva

“Mengertilah, niat ikhlas merupakan sifat mahmudah yang amat dituntut agama. Bagi mencapai nilai itu, kita perlu mempunyai kesabaran dan penghayatan akhlak yang baik,” katanya.

Ketahuilah bahawa terdapat sebuah hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim yang menggambarkan tentang orang yang mengambil semula pemberiannya ibarat anjing yang menjilat muntahnya.

Beliau menjelaskan, Rasulullah SAW memberi perumpamaan itu sebagai satu lambang penghinaan kerana haiwan seperti anjing sering kali dikaitkan dengan binatang haram dalam Islam.

“Bahkan, ia mempunyai nilai negatif bagi kebanyakan budaya,” ujarnya.

Justeru, beliau mengingatkan umat agar bersifat ikhlas dalam setiap perbuatan dilakukan dan ia menuntut mujahadah begitu tinggi.

Ia sebagaimana sikap yang ditonjolkan oleh Nabi Muhammad SAW. Bayangkan Baginda pernah mengikat perutnya dengan batu untuk menahan lapar, tetapi tetap memberikan makanannya kepada orang lebih memerlukan.

Dalam kisah lain katanya, Rasulullah SAW memakai pakaian yang cantik, tetapi kemudian memberikan kepada seorang sahabat yang meminta walaupun Baginda sangat menyukai baju tersebut.

Bagi mencapai nilai ikhlas, Dr Nurzahidah turut berkongsikan beberapa tip untuk kita menggapainya.

MENUNTUT semula pemberian diberikan atau mempertikaikannya merupakan sikap yang dibenci oleh agama.
MENUNTUT semula pemberian diberikan atau mempertikaikannya merupakan sikap yang dibenci oleh agama.

Antaranya kita perlu sedar sifat tulus itu merupakan lambang keimanan, selain menetapkan nilai murni dan sedaya upaya untuk istiqamah mengamalkannya.

“Pasakkan sifat itu dalam memandu niat untuk mencari keredaan ALLAH, sentiasa menilai tujuan ibadah dilakukan dan manfaatnya serta sedaya upaya untuk menghindari diri daripada sifat riak, ujub mahupun berbangga diri.

“Di samping itu, banyakkanlah berzikir dan berdoa agar kita meraih keikhlasan. Percayalah dengan ganjaran di akhirat itu pasti menjadi motivasi untuk kita bersyukur atas nikmat kurniaan ALLAH.

“Paling utama, elakkan daripada perilaku yang mengurangkan keikhlasan seperti mengungkit pemberian atau berbicara tentang amal kebaikan sama ada di media sosial ataupun ketika bersembang,” titipnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!