Tunggu polis dengan pisau

Dua bilah pisau dan dadah yang dirampas daripada suspek dalam serbuan polis di Jalan Siam di sini.
Dua bilah pisau dan dadah yang dirampas daripada suspek dalam serbuan polis di Jalan Siam di sini.
A
A
A

PANTAI REMIS - Seorang penagih bertindak agresif dengan mengacu dua bilah pisau ke arah anggota polis yang menyerbu rumahnya di Jalan Siam di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, serbuan dibuat di rumah tersebut kira-kira jam 11.45 malam itu oleh sepasukan polis dari Balai Polis Pantai Remis.

Menurutnya, ketika masuk melalui pintu belakang rumah, pihak polis menemui suspek berusia 54 tahun itu sedang memegang pisau yang diubah suai di tangan kiri dan sebilah lagi pisau di sebelah tangan kanan.

"Pihak polis telah minta suspek untuk memberikan kerjasama namun dia enggan memberikan kerjasama serta bertindak agresif.

"Suspek kemudiannya berjaya ditangkap setelah berlaku pergelutan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Nor Omar berkata, hasil pemeriksaan lanjut yang dibuat ke atas suspek menemukan sebungkus plastik lutsinar di dalamnya terdapat empat paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin di dalam poket hadapan sebelah kanan seluar jeans yang dipakai.

Katanya, anggaran berat dadah yang ditemui itu sebanyak empat gram dengan nilai rampasan bernilai RM120.

Menurutnya, ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis morfin selain mempunyai empat rekod kesalahan lampau membabitkan kes dadah dan jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Suspek yang merupakan penganggur disiasat di bawah Seksyen 29A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6, Akta Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!