‘Johari adalah seorang posmen’ - Dominic Lau

Johari (kiri), Dominic Lau
Johari (kiri), Dominic Lau
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mempersoal sama ada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul akan bertindak membuat keputusan sama jika ada ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, beliau bersetuju Johari merupakan seorang ‘posmen’ dan cara beliau mengendalikan enam bekas ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya sebagai pad setem untuk Kerajaan Perpaduan.

"Saya benar-benar ingin tahu, jika pada masa ini ada Ahli Parlimen PH yang tanpa keluar parti, mengumumkan sokongan kepada PN, apakah pendirian pemimpin PH?

“Adakah Yang Dipertua Dewan Rakyat akan bertindak seperti posmen kembali?" soalnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Bersatu mengesahkan enam bekas ahli Parlimennya kekal sebagai wakil rakyat selepas Johari memaklumkan tidak berlaku kekosongan kerusi mereka.

Perkara itu dinyatakan Johari menerusi surat bertarikh 9 Julai.

Perkembangan itu dimaklumkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam sidang media di Dewan Rakyat pada Rabu.

Mengulas lanjut, Dominic memberitahu, walaupun Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai seorang Speaker Dewan Rakyat yang berat sebelah dan tidak neutral, mujur Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim tampil bersuara dengan adil.

Artikel Berkaitan:

"Saya secara peribadi sangat menghargai dan menghormati Hassan Abdul Karim. Beliau adalah pemimpin akar umbi PKR yang berani bersuara untuk keadilan, mendekati pengundi, dan memahami situasi rakyat.

“Inilah pemimpin yang datang daripada rakyat dan sentiasa bersama rakyat. Beliau tidak seperti beberapa pemimpin atasan PKR yang sombong dan tidak mendengar suara rakyat, malah menghina rakyat sebagai bodoh dan tidak bijak,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana membenarkan penerimaan enam ‘katak politik’ dan menuduh Muhyiddin membaca peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai undang-undang anti-lompat parti secara selektif.

Menurutnya, Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan mana-mana ahli Parlimen yang bukan ahli parti tertentu, kerusi disandang di Dewan Rakyat perlu dikosongkan.

“Salah satu tanggungjawab Yang Dipertua Dewan Rakyat ialah memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila terdapat kekosongan kerusi,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!