[VIDEO] Salah guna kuasa, bekas CEO didenda RM15,000 lantik anak dalam syarikat

A
A
A

MELAKA - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Melaka Halal Hub Sdn Bhd (MHHSB) didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat, selepas mengaku bersalah menggunakan jawatan melantik anaknya bekerja dalam agensi itu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Amir Ali ,57, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan dan fakta kes, Amir didapati membuat urusan berhubung suatu harta iaitu bayaran gaji keseluruhan berjumlah RM13,750 yang diterima anak perempuannya, Nur Hafizah, yang dilantiknya ke jawatan Pegawai Kewangan W41 di bawah anak syarikat terbabit.

Pelantikan yang dilakukan tidak sah memandangkan keputusan tersebut tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengarah syarikat induk MHHSB iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM).

Amir (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat.
Amir (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat.

Sekali gus ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009.

Bagi kes ini tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26 Akta SPRM 2009 yang membawa kepada hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohammad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan denda minimum RM15,000 hingga RM20,000 kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan memberi pengajaran kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Peguam tertuduh, Azrul Zulkifli Stork memohon jumlah denda dikurangkan kerana anak guamnya menyesal dengan perbuatan itu yang terjadi kerana desakan kewangan akibat pandemik Covid-19 ketika itu.

Hujahnya, tertuduh turut menanggung lapan orang dengan pendapatan bulanan RM6,000 selain menghidap penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda sebanyak RM15,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar dan tertuduh telah membuat bayaran tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!