Tipu tawar pakej RM50,000 untuk 50 hari melancong

Ramli menunjukkan antara barang yang dirampas membabitkan sindiket tipu pakej pelancongan pada 1 Julai lalu.
Ramli menunjukkan antara barang yang dirampas membabitkan sindiket tipu pakej pelancongan pada 1 Julai lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tawaran pakej RM50,000 untuk 50 hari percutian antara taktik sindiket tipu pakej pelancongan yang dibongkar dalam serbuan di premis pejabat dekat sini pada 1 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, serbuan itu berjaya menahan 15 individu terdiri daripada 12 lelaki dan 3 wanita warga India.

Menurutnya, polis telah merampas 17 telefon bimbit dan pelbagai barang lain termasuklah 10 baucar pakej pelancongan, cop syarikat, komputer riba dan pelbagai barangan lain yang dipercayai berkaitan dengan aktiviti penipuan.

"Sindiket ini dipercayai beroperasi sejak awal tahun ini menggunakan nama sebuah syarikat.

"Syarikat tersebut mempromosikan pakej pelancongan dan melakukan promosi melalui edaran risalah kepada warga asing," katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ pada Jumaat.

Ramli (tengah) dalam sidang akhbar di Menara KPJ Kuala Lumpur pada Jumaat.
Ramli (tengah) dalam sidang akhbar di Menara KPJ Kuala Lumpur pada Jumaat.

Tambahnya, mangsa yang berminat perlu hadir ke syarikat terbabit untuk penerangan sebelum ditawarkan tiga pakej iaitu pakej RM50,000 untuk 50 hari percutian, pakej RM25,000 untuk 40 hari percutian dan pakej RM14,000 untuk 14 hari percutian.

Katanya, pelanggan yang berminat dibenarkan membuat pilihan percutian ke mana-mana negara di seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

"Semakan yang dilakukan dengan pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mendapati syarikat tersebut tidak mempunyai lesen untuk beroperasi sebagai syarikat pelancongan.

"Sehingga kini, dua laporan polis telah dibuat oleh mangsa yang tertipu dengan syarikat ini melibatkan nilai kerugian keseluruhan RM14,000.

"Kesemua individu yang ditangkap sedang direman sehingga 20 Julai di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Dalam kes berlainan, pada 2 Julai lalu, JSJK menyerbu sebuah premis kediaman di Cheras, Kuala Lumpur dan berjaya menahan tujuh warga tempatan termasuk tiga wanita membabitkan ahli sindiket along.

Ramli berkata, sindiket ini dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lalu dan menyasarkan peminjam dalam kalangan warga tempatan.

"Sindiket ini mengiklankan pinjaman melalui Facebook dan peminjam yang berminat kemudiannya akan dihubungi melalui WhatsApp dengan tawaran pinjaman RM500 hingga RM10,000 serta faedah antara 10 hingga 15 peratus secara mingguan atau bulanan," ujarnya.

Tegasnya, kesemua suspek berusia lingkungan 23 hingga 30 tahun disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!