Dua sahabat didakwa perdagang remaja perempuan bawah umur

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KANGAR - Dua sahabat termasuk seorang remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat atas dua pertuduhan memperdagangkan dua remaja perempuan bawah umur bagi tujuan eksploitasi seks pada 2 Julai lepas.

Bagi pertuduhan pertama Shakila Latiff, 25, dan rakannya berumur 17 tahun itu didakwa bersama-sama memperdagangkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun bagi maksud eksploitasi seks bertempat di sebuah hotel di Persiaran Jubli Emas di sini pada jam 6.20 petang, 2 Julai.

Bagi pertuduhan kedua pula, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama melakukan perbuatan sama melibatkan seorang lagi remaja perempuan yang berumur 14 tahun di bilik berasingan di hotel sama pada jam 6.25 petang, tarikh yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara selama tempoh tidak kurang lima tahun dan boleh disebat jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Alia Suzila Chek Pi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Musyiri Peet membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama, manakala RM10,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan kedua.

Kedua-dua tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan dan tidak boleh menghampiri saksi pendakwaan serta mangsa.

Mahkamah menetapkan 22 Ogos ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!