Sultan Selangor utus takziah pemergian Raja Datin Paduka Fuziah

Gambar Allahyarham turut dikongsi di laman Facebook Selangor Royal Office.
Gambar Allahyarham turut dikongsi di laman Facebook Selangor Royal Office.
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menzahirkan perutusan takziah kepada keluarga dan waris Allahyarham Raja Datin Paduka Fuziah Raja Tun Uda yang telah kembali ke Rahmatullah pada 11 Julai 2024 di usia 84 tahun.

Turut menzahirkan perutusan takziah ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Menurut hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office, Allahyarham merupakan anakanda kepada bekas Menteri Besar Selangor kedua dan keempat.

"Allahyarham Raja Tun Uda Raja Muhammad adalah seorang tokoh yang tersohor dalam industri seni dan kraf tempatan serta pernah dilantik sebagai ahli Lembaga Pemegang Amanah Balai Seni Lukis Negara dan Perpustakaan Negara.

"Di atas jasa dan bakti Allahyarham, DYMM Sultan Selangor telah mengurniakan pingat Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) kepada Allahyarham pada tahun 2006," menurut hantaran Selangor Royal Office di laman media sosial itu pada Jumaat.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam.

"Baginda berdua berharap agar keluarga Allahyarham terus tabah dan redha di atas ketentuan ini dan mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan bersama para solihin," menurut hantaran itu lagi.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!