Jabatan, agensi KPKT sedia jalani proses audit demi integriti

Kor Ming menerima kunjungan hormat Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya untuk berbincang bagi meningkatkan prestasi tata kelola yang cemerlang di kementerian. FOTO/ Facebook Nga Kor Ming.
Kor Ming menerima kunjungan hormat Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya untuk berbincang bagi meningkatkan prestasi tata kelola yang cemerlang di kementerian. FOTO/ Facebook Nga Kor Ming.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan dan agensi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedia menjalani proses audit bagi memastikan prinsip integriti sentiasa dihayati selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata, pihaknya mengalu-alukan Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi untuk berbuat demikian selepas bertemu dan berbincang usaha untuk memperkukuhkan prinsip integriti serta meningkatkan prestasi tata kelola di peringkat kementerian.

Menurut beliau, KPKT diiktiraf sebagai kementerian bertaraf platinum oleh Indeks MYGOV yang sentiasa mengutamakan tata kelola cemerlang.

"Dalam sesi perbincangan tersebut, saya menegaskan komitmen KPKT terhadap tata kelola yang baik, pengurusan perbelanjaan berhemah dan pelaksanaan dasar efektif serta berkesan.

"Saya mengalu-alukan ketua audit negara untuk menjalankan audit ke atas mana-mana jabatan dan agensi di bawah KPKT bagi memastikan prinsip integriti dekat di hati selaras aspirasi Malaysia Madani,“ katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Kor Ming memaklumkan, impak pembaharuan kerajaan dibuktikan melalui sidang Parlimen kali ini apabila berlaku sesi soal jawab Perdana Menteri (PMQT) dan pembentangan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang dibahas 71 ahli Parlimen serta digulung oleh 17 menteri buat pertama kali.

Tambahan beliau, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) juga dibahas 53 ahli Parlimen serta digulung oleh 17 menteri selama dua hari persidangan Dewan Rakyat berlangsung.

“Kedua-dua amalan reformasi Parlimen ini mencerminkan komitmen Kerajaan Madani yang telus dan menjunjung prinsip akauntabiliti.

Artikel Berkaitan:

“Usaha gigih ini wajar mendapat sokongan penuh rakyat untuk membina semula negara kita yang tercinta.

“Sebagai bukti, tindakan institusi perbankan utama dunia, JP Morgan meningkatkan penarafan Malaysia daripada ‘underweight’ kepada ‘neutral’ selepas enam tahun jelas menunjukkan bahawa negara kini berada di landasan yang betul,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!