Teliti cadangan wajibkan ujian saringan HIV pelajar baharu - GPMS

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

GEORGE TOWN - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menggesa pihak berkuasa dan universiti untuk meneliti secara mendalam cadangan mewajibkan ujian saringan HIV terhadap pelajar baharu.

Naib Presiden Siswa GPMS, Danial Alimin berkata, pihaknya mengambil maklum tentang peningkatan kes HIV dalam kalangan individu kelompok usia 18 hingga 25 tahun, namun langkah yang dicadangkan memerlukan penelitian yang rapi dan berhemah.

Menurutnya, GPMS berpendapat mewajibkan ujian saringan HIV berpotensi menimbulkan stigma dan diskriminasi terhadap pelajar yang didapati positif HIV.

"Ini boleh memberi kesan buruk terhadap kesejahteraan mental dan emosi mereka.

"Sekiranya ujian saringan HIV diwajibkan, GPMS mahu maklumat hasil ujian tersebut mestilah dijamin kerahsiaannya dan tidak akan tersebar atau terbongkar kepada umum.

"Pihak universiti dan pihak berkuasa kesihatan perlu memastikan bahawa data peribadi pelajar dilindungi sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Danial berkata, pihaknya turut menyarankan agar usaha lebih difokuskan kepada pendidikan kesihatan yang komprehensif dan program kesedaran mengenai HIV/AIDS dalam kalangan pelajar.

Katanya, pendidikan yang menyeluruh ini boleh membantu pelajar memahami risiko, cara pencegahan dan kepentingan untuk menjalani ujian saringan secara sukarela.

Artikel Berkaitan:

"GPMS juga mencadangkan supaya pihak universiti mempertingkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang mesra pelajar dan menyediakan sokongan psikososial kepada mereka yang memerlukan.

"Kami bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan dan universiti dalam merangka dan melaksanakan program-program yang dapat menangani isu HIV/AIDS secara berkesan tanpa menjejaskan hak serta martabat pelajar

"Kami yakin bahawa pendekatan berasaskan pendidikan dan sokongan yang menyeluruh adalah lebih berkesan dalam jangka panjang untuk mengurangkan kes HIV dalam kalangan pelajar," ujarnya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan peningkatan kes jangkitan HIV dalam kalangan pelajar di negara ini bukan sahaja berada di tahap membimbangkan, malah menunjukkan kejatuhan moral anak muda di negara ini.

Mereka yang menghidap penyakit tersebut berusia antara 18 hingga 25 tahun yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

Sebelum ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, seramai 214 pelajar dari institusi awam dan swasta dilaporkan menghidap HIV pada 2020 diikuti 186 kes (2021), 221 kes (2022) dan 244 kes (2023).

Susulan itu, Naib Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAC), Dr Dinesh Mahalingam berkata, kerajaan disaran menurunkan had usia saringan HIV dari 18 tahun kepada 16 tahun bagi memberi ruang pengesanan dan rawatan awal.

Menurutnya, cadangan tersebut akan meningkatkan kualiti kesihatan dan menangani realiti generasi muda yang semakin terkesan dengan epidemik HIV.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!