300 penduduk Kampung Kolosunan terputus hubungan akibat tanah runtuh

Tanah runtuh menyebabkan laluan keluar terputus. Gambar kecil dari kecil: Jeffrey, Joulis, Ben
Tanah runtuh menyebabkan laluan keluar terputus. Gambar kecil dari kecil: Jeffrey, Joulis, Ben
A
A
A

KOTA KINABALU - Hampir 300 penduduk Kampung Kolosunan, Inanam di sini, terputus hubungan hampir dua minggu selepas jalan penghubung untuk mereka keluar ke pekan berhampiran, runtuh sejak 30 Jun lalu.

Kampung Kolusunan yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Pekan Inanam melalui Jalan Kionsom itu turut menyebabkan penduduk kampung sukar ke hospital manakala murid terpaksa berjalan kaki lebih sejam untuk ke sekolah.

Seorang penduduk, Jeffrey Abun, 41, memberitahu terdapat enam runtuhan di sepanjang dua kilometer di laluan tersebut menyebabkan ia tidak boleh dilalui pelbagai jenis kenderaan.

"Banyak tiang elektrik tumbang dan melintang di tengah jalan. Saya ada buat aduan supaya kerja pembersihan dapat dilakukan.

"Setakat ini mereka ada melakukan pembersihan tetapi prosesnya terlalu perlahan sedangkan penduduk amat memerlukan laluan ini untuk berulang alik keluar dari kampung," katanya ketika ditemui di sini, pada Jumaat.

Penduduk kampung terpaksa memikul pesakit lalu di kawasan tanah runtuh untuk ke hospital.
Penduduk kampung terpaksa memikul pesakit lalu di kawasan tanah runtuh untuk ke hospital.

Tambah beliau lagi, laluan itu adalah satu-satunya yang digunakan penduduk untuk keluar dari kampung berkenaan.

"Anak-anak susah pergi ke sekolah dan jika ada kecemasan, kami terpaksa bergotong-royong memikul penduduk yang sakit bagi mendapatkan rawatan di hospital.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga ibu-ibu yang mengandung tidak dapat keluar untuk menghadiri janji temu di klinik," katanya.

Seorang lagi penduduk, Joulis Sangga, 60, berkata, tanah runtuh itu disebabkan hujan lebat yang berlaku pada dua minggu lalu.

"Tetapi sejak kejadian itu, laluan kami masih belum boleh dilalui kenderaan dan ini turut menjejaskan aktiviti harian termasuk ekonomi penduduk kampung.

"Jadi saya minta, kalau boleh pihak yang bertanggungjawab mempercepatkan proses pembersihan dan membaik pulih jalan tersebut bagi memudahkan penduduk di kampung ini," katanya.

Seorang murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Babagon Toki, Ben Bryan, 11, memberitahu, dia terpaksa keluar seawal jam 5.30 pagi untuk ke sekolah.

"Kami beramai-ramai berjalan kaki selama lebih satu jam perjalanan untuk sampai ke sekolah.

"Kalau hujan, kami tidak dapat ke sekolah dan terpaksa ponteng atau ketinggalan pelajaran," katanya.

Fardy (empat dari kanan) menyampaikan bantuan bakul makanan kepada penduduk Kampung Kolosunan, Inanam.
Fardy (empat dari kanan) menyampaikan bantuan bakul makanan kepada penduduk Kampung Kolosunan, Inanam.

Sementara itu, Persatuan Sukarelawan Inanam (PSI) dengan kerjasama Lions Club of Luyang ACE dan Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam turun padang untuk membantu penduduk di kampung tersebut.

Setiausaha PSI, Fardy Bungga, berkata sebanyak 26 bakul makanan diserahkan kepada ketua isi rumah yang terperangkap sejak dua minggu lalu.

"Antara makanan yang diberikan termasuk beras, makanan tin, mi segera dan barang keperluan lain memandangkan penduduk tidak dapat keluar dari kampung mereka.

"Walaupun laluan untuk ke kampung ini begitu mencabar iaitu terpaksa mendaki bukit setinggi dua kilometer untuk ke lokasi tanah runtuh namun hasrat menyampaikan bantuan akhirnya terlaksana dan berharap ia dapat meringankan beban penduduk yang terjejas," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!