'Bayarlah gaji kami, nak makan pun tak ada duit'

Sebahagian daripada 20 pekerja tukang cuci berkumpul mengadu tidak menerima gaji selama empat bulan.
Sebahagian daripada 20 pekerja tukang cuci berkumpul mengadu tidak menerima gaji selama empat bulan.
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 20 tukang cuci di daerah ini dan Bachok berdepan kesempitan hidup apabila gaji mereka tertunggak sejak Mac lalu.

Lebih menyedihkan apabila antara mereka ada yang menghidap penyakit kronik dan baru lepas menjalani pembedahan membuang bisul.

Asrul Dailamie Awang, 39, berkata, dia menghidap penyakit lelah sejak kecil dan pada masa sama menjaga ibu berusia 82 tahun yang sakit terlantar kerana uzur.

Menurutnya, perbelanjaan penjagaan ibu, ubatan dan rawatan yang diperlukan sekitar RM1,500 sebulan, sama jumlah gaji yang patut diterima setiap bulan.

“Gaji memang cukup-cukup dan sedikit untuk beli makanan, nak isi minyak motosikal RM5 pergi kerja pun kongsi-kongsi dengan rakan lain, RM2 seorang.

“Bayarlah gaji kami, kami bukan orang senang. Kadang-kadang sampai mengalir air mata mengenang nasib dan termimpi dalam tidur, orang datang bayar gaji,” katanya ketika ditemui di Kedai Lalat, di sini, pada Jumaat.

Mohamad Hanif (kanan) menunjukkan laporan polis dan aduan yang dibuat kerana gaji tertunggak.
Mohamad Hanif (kanan) menunjukkan laporan polis dan aduan yang dibuat kerana gaji tertunggak.

Seorang lagi tukang cuci, Nani Abdul Rahman, 53, juga ibu tunggal berdepan keadaan sama apabila keseluruhan gaji RM6,000 untuk tempoh empat bulan tidak diterimanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kebiasaan seorang penyelia wanita berusia 40-an akan berjumpa mereka untuk menyerahkan gaji RM1,500 setiap bulan namun tidak diperolehi dan didakwa duit tuntutan belum diterima.

“Saya sendiri baru lepas jalani pembedahan bisul di belakang kepala dan kembali bekerja selepas cuti sakit sembilan hari.

“Saya terpaksa meneruskan pekerjaan ini kerana mahukan gaji tertunggak tersebut dibayar tetapi hingga sekarang buntu dan tidak ada penyelesaian,” katanya.

Menurut wanita itu, dia juga menjaga anak perempuan berusia 26 tahun yang menghidap penyakit buah pinggang kronik tahap lima dan memerlukan perbelanjaan perubatan RM800 setiap bulan.

Sementara itu, seorang lagi tukang cuci, Mohamad Hanif Ridzuan, 29, berkata, sudah membuat laporan polis sebanyak dua kali dan empat aduan dibuat di Jabatan Tenaga Kerja Kelantan sejak Mac lalu namun tetap tidak menyelesaikan masalah tersebut.

Katanya, dia juga terpaksa berhutang kerana tidak cukup wang untuk melangsungkan perkahwinan yang dijangkakan pada September nanti.

“Sepatutnya saya kumpul duit kahwin tetapi gaji tak berbayar menyebabkan persiapan menjadi sukar.

“Mungkin majlis dibuat kecil-kecilan sahaja dan mengharap bantuan ibu bapa serta adik-beradik untuk membelikan barang hantaran,” katanya.

Sinar Harian cuba mendapatkan maklum balas daripada pihak penyelia mereka tetapi panggilan telefon tidak dijawab manakala urusan bagi mendapatkan maklumat kes di Pejabat Tenaga Kerja Kelantan akan dilakukan pada waktu pejabat, Ahad ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!