Pusat beli-belah tutup operasi mesin layan diri rokok elektronik
PUTRAJAYA - Pihak pengurusan sebuah pusat membeli-belah akur terhadap saranan Kementerian Kesihatan (KKM) agar menutup operasi mesin layan diri penjualan rokok elektronik di premis terbabit
KKM dalam satu kenyataan memaklumkan, perkara itu dipersetujui pihak pengurusan selepas pertemuan yang diadakan dan langkah itu diambil sebagai tanggungjawab sosial mereka.
"Di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852], Seksyen 10 memperuntukkan larangan penjualan dan pameran semua produk merokok.
"Peraturan berkaitan penjualan di mana larangan penjualan termasuk menerusi kaedah mesin layan diri adalah dilarang, ia kini sedang diperhalusi dan akan dikuatkuasakan bersama Akta 852 setelah diluluskan," jelas kementerian itu pada Jumaat.
Selain itu katanya, larangan penjualan rokok elektronik melalui mesin layan diri juga kesinambungan daripada larangan penjualan hasil tembakau seperti rokok, cerut dan tembakau lerai melalui mesin layan diri di bawah peraturan sedia ada iaitu Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 di bawah Akta Makanan 1983 [Akta 281].
"Sebagai persediaan ke arah penguatkuasaan akta bersama peraturan dan perintah di bawahnya, KKM telah mengadakan siri taklimat penguatkuasaan Akta 852 kepada semua pegawai penguatkuasa KKM dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara bermula 9 Jun.
"Ini adalah bagi memaklumkan tentang larangan-larangan yang terdapat di bawah Akta 852 dan peraturan di bawahnya termasuk larangan penjualan produk merokok melalui mesin layan diri," jelas kenyataan itu.
Tambah KKM, pihaknya akan terus mempergiatkan taklimat dan sesi penerangan dari masa ke masa untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya tabiat merokok termasuk penggunaan rokok elektronik.
"Kepada golongan yang tidak merokok, jauhilah tabiat ini kerana ia boleh mengakibatkan kesan kesihatan.
"Bagi golongan perokok dan pengguna rokok elektronik pula, anda dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan berhenti merokok mengikut kaedah diiktiraf oleh KKM di mana-mana klinik kesihatan yang menyediakan perkhidmatan berhenti merokok atau melalui laman sesawang www.jomquit.com," katanya.
Sebelum ini, stesen televisyen tempatan melaporkan penjualan rokok elektronik secara berleluasa menerusi mesin layan diri di sebuah pusat membeli belah di Klang, Selangor.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!