Negeri Sembilan keluar garis panduan tapak perkhemahan - Exco

Arul menunjukkan garis panduan tapak perkhemahan di negeri ini sebagai langkah keselamatan sekali gus mengelakkan kejadian yang meragut nyawa.
Arul menunjukkan garis panduan tapak perkhemahan di negeri ini sebagai langkah keselamatan sekali gus mengelakkan kejadian yang meragut nyawa.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan mengeluarkan Garis Panduan Perancangan (GPP) tapak perkhemahan di negeri ini sebagai langkah keselamatan sekali gus mengelakkan kejadian yang meragut nyawa.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan, J Arul Kumar berkata, kerajaan negeri mengambil iktibar rentetan daripada kejadian tanah runtuh yang melibatkan sebuah tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor pada 16 Disember 2022 yang mengorbankan 31 nyawa.

"Sehubungan itu, kita komited untuk mewujudkan suatu permit khas atau kelulusan kepada semua pengusaha tapak perkhemahan yang sedang dan telah beroperasi di Negeri Sembilan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan keselamatan pengunjung.

"GPP ini merangkumi perancangan tapak perkhemahan, mekanisme pemajuan dan kawal selia tapak perkhemahan serta pengurusan operasi tapak perkhemahan," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Menurutnya, garis panduan ini turut menggariskan beberapa elemen penting di dalam perancangan tapak perkhemahan termasuklah kesesuaian lokasi dan tapak, zon guna tanah yang dibenarkan, peletakan plot khemah, penyediaan kemudahan asas serta penyediaan utiliti yang bersesuaian bagi pembangunan sesebuah tapak perkhemahan.

"Kita juga akan melakukan pemutihan membabitkan tapak perkhemahan sedia ada iaitu beroperasi sebelum 1 Januari lalu sahaja. Tiada sebarang denda dikenakan dalam tempoh pemutihan ini.

"Tempoh masa bagi program pemutihan adalah sehingga 31 Disember ini di mana pemohon perlu mengemukakan permohonan permit bangunan sementara (PBS). Kelulusan PBS ini boleh dilanjutkan sehingga tempoh dua tahun tertakluk kepada kelulusan PBT,"katanya.

Dalam pada itu, Arul berkata, menerusi penyediaan garis panduan ini, turut ditekankan aspek kawalan perancangan dan penguatkuasaan yang lebih tegas khususnya oleh PBT bagi mempertimbangkan kelulusan pelan tapak perkhemahan.

Artikel Berkaitan:

"Penguatkuasaan akan dibuat bermula Januari 2025 sekiranya pengusaha atau pemilik tidak mengemukakan permohonan sebelum 31 Disember ini.

"Menteri Besar juga menegaskan tidak dibenarkan didirikan tapak perkhemahan di kawasan pantai awam milik kerajaan negeri . Selain itu mekanisme kawal selia bagi tapak perkhemahan sedia ada seperti fi, denda dan pemutihan juga diperhalusi dalam garis panduan ini," katanya.

Selain isu, katanya, keselamatan awam di tapak perkhemahan, beberapa isu utama dikenal pasti melalui kajian GPP ini termasuk kacau ganggu dan pencemaran alam sekitar seperti kesesakan, vandalisme, gangguan binatang liar dan kerosakan kepada sumber alam.

"Sementara itu potensi dan peluang penjanaan ekonomi domestik daripada operasi tapak perkhemahan yang semakin berkembang wajar dimanfaatkan sebaiknya terutamanya kepada golongan muda," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!