Pempengaruh maut: Suspek wanita dibebas dengan jaminan

 Ahmad Sukarno Mohd Zahari
Ahmad Sukarno Mohd Zahari
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suspek wanita yang direman berkait kes ugutan melalui aplikasi TikTok terhadap seorang pempengaruh media sosial dibebas dengan jaminan polis pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, tindakan berkenaan diambil selepas tempoh reman wanita berusia 35 tahun itu selesai.

“Suspek wanita tersebut akan diberi jamin dahulu.

“Terdapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang perlu diambil tindakan selepas kertas siasatan dirujuk kepada TPR,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini, suspek wanita itu ditahan di sekitar Rawang, Selangor pada awal pagi, Isnin sebelum direman tiga hari sehingga Rabu.

Reman wanita itu kemudian dilanjut dua hari lagi sehingga Jumaat untuk disiasat dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Polis kemudian merekod keterangan sembilan saksi untuk membantu siasatan.

Rajeswary Appahu, 30, atau digelar ‘Esha’ ditemui maut di kediamannya pada 5 Julai selepas sehari membuat laporan ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, dua akaun TikTok di bawah penama @DulalBrothers dan @Alphaquinnsha disiasat polis dipercayai menggunakan gambar Rajeswary (Esha) sebagai latar belakang kandungan video yang telah dimuat naik ke akaun masing-masing.

Kandungan tersebut juga didapati mengandungi ugutan dan ancaman kepada mangsa selain menggunakan kata-kata kesat serta lucah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!