[VIDEO] 'Pembangkang jangan nak tunjuk hero' - Fahmi
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menasihati pembangkang ajar tidak menjadi hero dalam isu kedudukan enam bekas ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berpaling tadah.
Sedangkan katanya, ahli Parlimen Bersatu membantah pindaan Rang Undang-Undang Akta Lompat Parti 2022 secara menyeluruh sebelum ini.
"Terpekik terlolong di dalam dewan, merekalah yang tidak bersetuju. (Kini) Senjata makan tuan," katanya menerusi sidang akhbar mingguan Kementerian Komunikasi di sini pada Jumaat.
Ujar beliau, sebarang kritikan berhubung keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sepatutnya diletakkan di atas bahu pemimpin Bersatu.
"Kalau nak salah seseorang, salahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.
"Tanya siapa yang paling tidak mahu pindaan menyeluruh," katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kritikan ditemparkan terhadap Johari susulan menolak permohonan Bersatu untuk mengosongkan enam kerusi bekas ahli Parlimennya.
Mereka adalah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) serta Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Antara alasan yang diberikan Johari dalam surat balas kepada Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee adalah permohonan parti itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan selain menafikan hak wakil rakyat terbabit di bawah Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat serta Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!