14 ‘hot spot’ e-waste haram dikenal pasti, libat unsur gengsterisme

Ahmad Yunus. (Laporan Sinar Harian)
Ahmad Yunus. (Laporan Sinar Harian)
A
A
A

KUALA LANGAT - Sebanyak 14 ‘hot spot’ e-waste yang beroperasi secara haram dikenal pasti di sekitar daerah Kuala Langat dan lokasi premis atau tapak itu dikawal ketat sekumpulan gengster.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai perkara tersebut selepas menerima salinan edaran daripada penolong pegawai daerah unit penguatkuasaan untuk diserahkan kepada ketua polis daerah berkenaan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang itu, kawasan tersebut memang terkenal dengan pembuangan sampah haram dan pembakaran terbuka yang dilakukan pada sebelah malam.

“Rupa-rupanya ada satu bentuk aktiviti membuang sampah di kawasan yang agak dalam pada waktu malam sehingga memberikan ketidakselesaan kepada penduduk sekitar lebih-lebih lagi di Batu 8, Jalan Sijangkang Utama.

“Sebahagian besar bersifat e-waste dan plastik. Tetapi, apa yang mengejutkan saya, ada pihak tidak bertanggungjawab di sebalik operasi kerana ia melibatkan unsur gengsterisme.

“Sebab itulah perkara ini diserahkan kepada pihak polis,“ katanya menerusi hantaran video di Facebook pada Khamis.

Ahmad Yunus pernah membahaskan usul itu semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini berikutan aktiviti haram e-waste tetap menjalankan operasi seperti biasa tanpa mengendahkan kompaun atau amaran pihak berkuasa.

Sebelum ini, wartawan Sinar Harian menjejaki tapak pembakaran terbuka berkenaan dan mendapati kawasan terbabit sudah dikosongkan, namun masih terdapat longgokan bahan buangan e-waste, plastik serta asbestos yang tidak dilupuskan secara teratur.

Artikel Berkaitan:

Pemantauan jam 6 petang Khamis di tapak pembakaran terbuka oleh Jabatan Alam Sekitar, Majlis Perbandaran Kuala Langat dan bomba. Foto MPKL dan penduduk Kampung Sijangkang
Pemantauan jam 6 petang Khamis di tapak pembakaran terbuka oleh Jabatan Alam Sekitar, Majlis Perbandaran Kuala Langat dan bomba. Foto MPKL dan penduduk Kampung Sijangkang

Justeru, beliau berharap agar Kerajaan Selangor serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad untuk mengambil tindakan bersepadu serta-merta bagi menamatkan kemelut yang melanda komuniti setempat.

“Tiada kesudahan pembakaran terbuka dan haram, kes seperti ini pernah terjadi sebelumnya. Sekarang ia berlaku lagi di tempat yang sama.

“Tindakan penguatkuasaan ini perlu bagi menjamin kelestarian kawasan dan membanteras aktiviti pencemaran alam sekitar,“ ujarnya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!