Buli siber: PM kesal, arah tindakan tegas

Fahmi ketika sidang media selepas mesyuarat Pasca Kabinet di kementeriannya pada Jumaat. Foto Bernama
Fahmi ketika sidang media selepas mesyuarat Pasca Kabinet di kementeriannya pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kekesalan berhubung insiden buli siber yang membimbangkan sehingga menyebabkan kematian.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan, Anwar turut mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.

"Dalam mesyuarat Kabinet, Anwar menyatakan rasa cukup tidak puas hati terhadap kejadian buli siber dan beliau telah meminta supaya pihak berkuasa mengambil tindakan yang sangat tegas serta perlu berusaha untuk menghentikan jenayah itu daripada berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar mingguan selepas mesyuarat Kabinet diadakan pada pagi Jumaat.

Sebelum ini, seorang pempengaruh wanita dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai berdepan dengan ugutan dan tekanan di media sosial.

Mangsa berusia 30 tahun itu sempat membuat satu laporan polis berhubung buli siber yang dihadapinya di Balai Polis Dang Wangi pada 4 Julai lalu dan laporan tu dipindahkan ke pihak Polis Daerah Sentul untuk siasatan.

Pihak polis kemudian meminta mendiang menghadirkan diri ke balai polis untuk dirakam keterangan, namun dipercayai tidak sempat berbuat demikian kerana dia ditemui meninggal dunia di sebuah kondominium di Setapak pada keesokannya.

Mengulas mengenai akta spesifik berkaitan buli siber, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan berkata, pihaknya meneliti keperluan sama ada untuk meminda akta sedia ada seperti Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, atau menggubal akta khusus mengenai buli siber.

Artikel Berkaitan:

"Kita belum sampai ke tahap akan membawa rang undang-undang (RUU) ke Parlimen tetapi saya dimaklumkan oleh Bahagian Dasar Kementerian Komunikasi bahawa terdapat kaji selidik ini," jelasnya.

Ujar beliau, ia merupakan antara tiga langkah yang dikemukakan dalam mesyuarat Kabinet sebagai tindakan mengatasi isu buli siber selain siri jerayawara.

"Keduanya, memudahkan proses membuat laporan kepada SKMM dan PDRM yang mana kedua-dua pihak bersetuju untuk meneliti proses tersebut," jelasnya.

Fahmi turut memaklumkan satu pertemuan dengan penyedia platform TikTok pada minggu depan.

"Sebelum sidang media ini, saya telah berhubung dengan TikTok dan telah maklumkan bahawa mereka perlu bertanggungjawab.

“Mereka bersedia untuk memberikan kerjasama erat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!