Alif Teega, Aisyah Hijanah kekal direman

Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh, dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis . Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB
Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh, dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis . Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pasangan suami isteri pempengaruh yang tular berhubung kes derma kekal direman selama empat hari selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, menolak permohonan mereka untuk mengetepikan perintah reman yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas menolak permohonan semakan yang dibuat Mohd Hazalif atau lebih dikenali sebagai Alif Teega dan isterinya itu selaku pemohon.

Ketika membaca keputusan, beliau berkata, Majistret Putrajaya telah mematuhi peruntukan Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dalam membenarkan permohonan reman yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Isu tiada kaitan antara pemohon dengan kesalahan yang disiasat tidak mempunyai merit.

“Sebarang kesalahan yang dilakukan pemohon-pemohon, jika ada, hanya boleh ditentukan selepas siasatan selesai, justeru itu pemohan semakan ini ditolak,” katanya.

Hakim ini berkata, SPRM seharusnya dibenarkan untuk melengkapkan siasatan mereka terhadap dua pemohon ini maka perintah reman oleh Majistret terhadap mereka adalah sah.

Semasa hujahan, peguam, Abd Rahim Ali yang mewakili kedua-dua pemohon itu berkata, permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya, mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, iaitu membabitkan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan.

Beliau berkata, seksyen itu menyentuh kes bagi mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan, sama ada bagi dirinya sendiri, saudara atau sekutu, melakukan suatu kesalahan.

Artikel Berkaitan:

“Alif Teega dan Aisyah Hijanah ditahan bukan membabitkan penyelewengan kutipan bantuan, namun SPRM menggunakan permohonan reman mengikut Seksyen 23 (1) akta itu terhadap anak guam saya.

“Jadi, kami membuat bantahan, sebab tak kena dengan seksyen yang dimohon oleh SPRM, hakikatnya mereka bukan seorang penjawat awam,” katanya yang turut disertai peguam, Abi Mursyidin Awal dan Fithril Hakim Ab Jalil.

Menurutnya, Alif Teega dan Aisyah Hijanah tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana badan awam seperti yang tertakluk dalam Seksyen 3 Akta SPRM, iaitu akta yang membolehkan mereka disiasat mengikut Seksyen 23 akta sama.

"Pemegang saham dalam syarikat Hijanah Haul Holdings Sdn Bhd hanyalah Orang yang disiasat (OYDS) pertama dan kedua.

“Ahli-ahli dalam syarikat itu juga bukanlah pegawai badan awam dan pihak kami berhujah tiada kaitan antara kedua-dua suspek dan kesalahan yang disyaki.

"Oleh kerana tidak terdapat sebarang kaitan, maka perintah reman yg diberikan Mahkamah Majistret hendaklah diketepikan," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, permohonan reman bukan suatu subjek yang perlu dibincangkan sekarang.

Menurutnya, permohonan semakan ini adalah pramatang kerana tiada apa-apa asas untuk mengatakan siasatan telah selesai dan tiada kesalahan di bawah seksyen tersebut.

Beliau berkata, prosedur reman ini adalah penting untuk kedua-dua pemohon dalam membuktikan sekiranya terdapat kesalahan yang dilakukan atau sebaliknya.

“Jika kita menggunakan hujahan itu, maka mana-mana suspek tidak boleh direman untuk siasatan bagi sebarang kes.

“Siasatan perlu dibuat secara menyeluruh, maka mana-mana orang yang disyaki perlu ditangkap terlebih dahulu kemudian berlanjutan ke permohonan reman,” katanya.

Menurutnya, sudah menjadi amalan ketika siasatan dibuka, namun tidak semestinya mereka akan dituduh mengikut seksyen yang sama.

Bagaimanapun, Ahmad Akram berkata, masih terdapat beberapa program yang masih belum dikenal pasti untuk kutipan derma, malah mereka gagal mengemukakan transaksi kewangan bagi setiap program tersebut.

Pada Khamis, pasangan suami isteri yang juga pempengaruh, tular berhubung isu derma, direman selama empat hari di Mahkamah Majistret Putrajaya, bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah, bermula 2022 lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!