Konvensyen Bersatu 2024 lancar konsultasi nasional parti
SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menganjurkan Konvensyen Bersatu Malaysia pada Sabtu bagi melancarkan konsultasi nasional dalaman parti mengenai dokumen ‘Idealisme Perjuangan Bersatu’.
Pengerusi Biro Latihan dan Perkaderannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, penganjuran program di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang itu turut memberi taklimat terkini mengenai peraturan-peraturan persidangan Bersatu peringkat cawangan, bahagian dan pusat.
“Kedua-dua agenda ini amat penting bagi parti seperti Bersatu yang masih muda dalam landskap politik negara.
“Peserta konvensyen akan menerima maklumat mengenai tatacara pengurusan dan penganjuran persidangan yang bermula tidak lama lagi, selain mendapat peluang membedah dokumen yang menggariskan prinsip-prinsip utama, atau fikrah perjuangan parti Bersatu.
Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, konvensyen yang mengangkat tema ‘Mendokong Idealisme, Memperkasa Kesatuan dan Membina Kekuatan’ itu terbuka kepada ahli-ahli Bersatu yang berminat untuk mendaftar.
“Jemputan untuk hadir adalah terdiri dalam kalangan ahli-ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), para pemimpin sayap-sayap peringkat pusat, pemimpin atasan bahagian dan pemimpin atasan sayap-sayap di peringkat bahagian,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!