Majlis Ulama Indonesia berusaha luruskan kembali ajaran Mama Ghufron
SATU demi satu kontroversi muncul daripada ajaran yang disebarkan seorang penceramah di Indonesia, Mama Ghufron yang terang-terang menyalahi agama Islam.
Bukan sahaja di negaranya, bahkan rakaman video-video pendek ceramah individu bernama Iyus Sugirman yang berasal dari Bandung, Jawa Barat itu turut tular di Malaysia.
Dalam keratan video yang tersebar, individu yang mempunyai pondok pesantren itu mengaku boleh berbicara dengan semut, cacing dan jin selain boleh membuat panggilan video dengan malaikat.
Dia juga mendakwa telah menulis 500 buah kitab dalam bahasa Suryani namun tidak boleh didedahkan kepada umum dan turut menyatakan syurga juga dijadikan ALLAH SWT untuk penganut agama lain selain Islam.
Majlis Ulama Indonesia (MUI) dalam satu kenyataan menyebut, pihaknya akan meluruskan kembali pemahaman Mama Ghufron agar masyarakat tidak terpengaruh dan mengikuti ajarannya itu.
Ketua Bidang Dakwah dan Ukhuwah MUI, Dr Cholil Nafis berkata, pihaknya sedang melakukan kajian yang lebih lanjut berkaitan ajaran yang dibawa Mama Ghufron itu.
“Insya-ALLAH kita akan terus tangani dengan cara dibina dan diluruskan pemahamannya.
“Kita akan gali sejauh mana ajaran-ajarannya dan selesaikan dengan cara dakwah mahupun jalan hukum (undang-undang),” katanya di Jakarta pada Rabu.
Cholil Nafis turut mengakui pihaknya hairan dengan kenyataan Mama Ghufron yang mengaku boleh membuat panggilan video dengan malaikat.
“Ada kenyataannya yang menyatakan boleh video call dengan malaikat maut, penjaga neraka dan sebagainya. Bagaimana caranya? Di sini sudah tidak berdasar sama sekali apa yang diucapkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bidang Pengkajian, Penelitian dan Pengembangan MUI, Utang Ranuwijaya menjelaskan beliau telah berhubung dengan MUI Malang bagi mendapatkan gambaran lebih lanjut.
“Kehadiran seorang yang sangat kontroversi ini meresahkan masyarakat.
“MUI Malang juga telah berusaha untuk bertemu dengan Mama Ghufron namun dia tidak berkesempatan untuk pertemuan tersebut,” katanya.
Bagaimanapun menurutnya, pihaknya akan terus bekerjasama dengan MUI daerah bagi mencari penyelesaian berkaiatan ajaran Mama Ghufron itu.
Katanya, usaha tersebut dilakukan sebagai langkah agar pengguna di media sosial tidak terpengaruh dengan pemahaman agama yang salah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!