Yayasan Keluarga Malaysia hargai pelajar cemerlang SPM
KAJANG - Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia (YKM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkunjung ke kediaman Haziq Safwan Shahril di sini bagi menyampaikan Hadiah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 pada Khamis.
Haziq memperoleh keputusan 7A dalam peperiksaan SPM tahun lalu.
Ismail Sabri berkata, pendidikan merupakan agenda utama YKM terhadap pemberian bantuan itu kerana ia mampu mengubah nasib sesebuah keluarga.
“Saya berharap bantuan yang diberikan kepada Haziq akan dimanfaatkan sebaiknya sewaktu menyambung pelajaran kelak,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Bekas Perdana Menteri itu memaklumkan, bantuan bagi Fasa 2 itu sebagai bukti dan komitmen berterusan YKM dalam membela nasib anak-anak yatim dan yatim piatu akibat Covid-19.
Haziq yang juga pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang turut menerima wang tunai sebanyak RM1,000.
Beliau akan menyambung pelajaran di German-Malaysian Institute (GMI) dalam pengajian Diploma Kejuruteraan Perisian.
Dua lagi penerima Hadiah Kecemerlangan SPM 2023 ialah Nur Alieya Nafisya Muhamad Farid dan Intan Elya Rumaisa Zainudin yang memperoleh keputusan 6A.
Program Hadiah Kecemerlangan SPM 2023 itu akan dikreditkan bersama Bantuan Kasih YKM Fasa 2 kepada penerima yang layak pada 19 Julai ini.
Program Hadiah Kecemerlangan SPM 2023 dan Bantuan Kasih YKM Fasa 2 melibatkan 515 penerima dengan implikasi kewangan hampir RM300,000 dan pada 20 Mac lalu, YKM menyalurkan RM515,000 bagi Fasa 1 Bantuan Kasih YKM.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!