Malaysia Fest 2024: FAMA perkenal buah eksotik Borneo

Dari kiri: Pengarah Urusan MegaXpress International, Hamzah Abdullah; PesuruhjayaTinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar dan Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli bergambar bersama buahbuahan yang bakal ditampilkan di Expo Malaysia Fest 2024.
Dari kiri: Pengarah Urusan MegaXpress International, Hamzah Abdullah; PesuruhjayaTinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar dan Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli bergambar bersama buahbuahan yang bakal ditampilkan di Expo Malaysia Fest 2024.
A
A
A

SHAH ALAM - Permintaan tinggi terhadap pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan di pasaran Singapura mendorong Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi fokus khas kepada produk berkenaan pada Expo Malaysia Fest 2024 yang diadakan pada 25 hingga 28 Julai ini.

Ketua Pengarahnya, Abdul Rashid Bahari berkata, nilai eksport di negara berkenaan menunjukkan peningkatan ketara pada tahun lalu apabila masingmasing mencecah RM500 juta dan RM761 juta bagi kategori buah dan sayur- sayuran segar.

“Lima jenis buah-buahan yang mendapat eksport tertinggi adalah tembikai, durian, pisang, kelapa, mangga dan nanas.

“Sayur-sayuran pula adalah tomato, salad, cendawan, timun, jagung manis dan terung,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Beliau berkata, pada Expo Malaysia Fest 2024 yang berlangsung di Singapore Expo Halls 5A, 5B tahun ini, FAMA akan membawa masuk 3,000 papan petai termasuk memperkenalkan buah-buahan tempatan yang hanya boleh didapati di Sabah dan Sarawak.

“Kebanyakan buah-buahan ini adalah kategori eksotik Borneo yang mendapat permintaan tinggi pengguna di Singapura termasuklah buah longan kristal, tarap, bambangan, disamping buah nadir seperti rambai, langsat, sentul dan remnia,” katanya.

Selain itu Abdul Rashid berkata, FAMA juga menyasarkan akan membawa masuk 20 metrik tan buah-buahan bermusim seperti cempedak king, durian, nangka, rambutan dan lain-lain lagi.

“Kita berharap pada edisi ke-7 penganjurannya kali ini, kita mencapai sasaran jualan keseluruhan sebanyak RM12 juta,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

ABDUL RASHID
ABDUL RASHID

Untuk rekod hasil jualan usahawan bimbingan FAMA semasa edisi ke-6 ekspo berkenaan pada 2023 mencecah RM1.2 juta, peningkatan 100 peratus berbanding RM525,000 pada kali pertama penganjurannya pada 2016.

Bertemakan Explore the Gems of Malaysia, seramai 302 perserta terdiri daripada usahawan dan syarikat telah mengesahkan akan menyertai Program anjuran MegaXpress International Pte. Ltd (MegaXpress International) dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi FAMA.

Ia berkonsepkan pameran perdagangan dan pengguna yang dikhususkan untuk mempromosi produk keluaran Malaysia seperti produk agromakanan, pakej pelancongan, produk kesihatan, fesyen, produk kecantikan dan makanan unik negeri-negeri di Malaysia.

“Edisi kali ini, FAMA menguruskan 75 reruai melibatkan negeri Selangor, Pulau Pinang, Perak, Terengganu dan dua agensi kerajaan iaitu Tourism Malaysia dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA),” katanya.

Tingkat nilai eksport

Menurut Abdul Rashid, objektif utama penyertaan ekspo itu untuk memperkukuh dan memperluaskan pasaran produk keluaran Malaysia ke Singapura bagi meningkatkan nilai eksport usahawan bimbingan FAMA kerajaan negeri, kementerian dan agensi yang mengambil bahagian.

Abdul Rashid berkata,ekspo itu menyediakan platform kepada usahawan Malaysia untuk mempromosi, memperkenal serta menjual produk keluaran mereka kepada pengguna di Singapura.

“Usahawan Malaysia juga berpeluang untuk membina jaringan perniagaan serta mencari pengimport berpotensi bagi mengembangkan pasaran ke Singapura.

“Peserta juga boleh membuat penyelidikan berkenaan keboleh pasaran dan tahap saingan produk keluaran usahawan Malaysia. Mereka juga boleh mengenal pasti penambahbaikan yang perlu dilakukan untuk memenuhi syarat dan kualiti yang perlu dipatuhi pihak berkuasa Singapura,” katanya.

Kemeriahan penganjuran Expo Malaysia Fest yang diadakan di Singapura telah mendapat sambutan memberangsangkan daripada penduduk tempatan.
Kemeriahan penganjuran Expo Malaysia Fest yang diadakan di Singapura telah mendapat sambutan memberangsangkan daripada penduduk tempatan.

Malah ekspo itu juga menjadi medan kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapatkan maklumat mengenai bidang eskport antaranya pengurusan logisitik, penyediaan dokumentasi dan mengendali maklum balas pengguna.

“Daya tarikan terbaharu dalam eskpo ini ialah produk tempatan yang dibawa khas dari Perlis, Selangor, Johor, Perak, Pulau Pinang dan Terengganu.

“Sebagai contoh Perlis akan memperkenalkan aiskrim harumanis, Selangor dengan snek cendawan rangup dan Pulau Pinang yang terkenal dengan Jeruk Madu Pak Ali,” katanya.

Perkenal bayaran tanpa tunai

Abdul Rashid berkata, pada ekspo kali ini juga FAMA turut bekerjasama dengan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) untuk memperkenal sistem bayaran tanpa tunai menerusi pemindahan DuitNow kepada pelanggan.

“Pengunjung yang menggunakan sistem bayaran tanpa tunai layak menyertai cabutan bertuah. Mereka hanya perlu membuat pembelian bernilai serendah SDG20 dengan mengimbas QR Code DuitNow untuk mendapatkan kupon cabutan bertuah,” katanya.

Jelas Abdul Rashid, cabutan bertuah itu menawarkan hadiah seperti wang tunai, pakej percutian ke Malaysia dan barangan elektronik dengan nilai keseluruhan sebanyak SGD10,000 (tertakluk kepada terma dan syarat).

Pihaknya menjangkakan lebih 130,000 pengunjung akan hadir dan berbelanja pada ekspo berkenaan yang sememangnya dinantikan oleh penduduk negara itu. “Produk makanan dari Malaysia menjadi pilihan utama rakyat Singapura. Ia menyebabkan Expo Malaysia Fest 2024 ini sudah memasuki tahun ke tujuh penganjurannya,” kata Abdul Rashid.

Reruai Ekspo Malaysia Fest 2024

Selangor

• Snek cendawan rangup (crispy mushroom snack).

• Aneka keropok ikan dan kerepek.

• Minuman probiotik.

• Minuman sarang burung.

Johor

• Kuih bakar pelbagai perisa.

• Lemang berinti.

• Aneka perisa popcorn viral.

• Corn dog sejuk beku.

• Fesyen dan kecantikan.

Perak

• Aneka snek.

• Makanan tradisional.

• Produk viral.

Pulau Pinang

• Aneka produk agromakanan jenama Seri Pinang.

• Aneka jenis acar seperti ikan talang, buah dan nanas.

• Jeruk Madu Pak Ali.

• Kopi pra campur.

Perlis

• Aiskrim harumanis.

• Aiskrim durian.

Terengganu

• Pakaian batik.

• Keropok lekor ganu.

Pembahagian reruai mengikut kategori:

Pavillion Negeri 66

Fruits Empire 8

Selebriti Corner 13

Percutian /travel 32

Fesyen & Kecantikan 55

Kendera saji (Food Truck) 8

Empayar Makanan 120

Jumlah 302

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!