Penoreh terpaksa tukar 'shift' waktu malam

Subuh menunjukkan hasil susu getah yang ditoreh pada waktu malam.
Subuh menunjukkan hasil susu getah yang ditoreh pada waktu malam.
A
A
A

PADANG BESAR - Golongan penoreh terpaksa menukar 'shif' kerja pada waktu malam bagi mendapatkan hasil susu lebih produktif berikutan cuaca panas dan kering pada siang hari di negeri ini menjejaskan pengeluaran susu getah.

Seorang penoreh, Subuh Bidin, 67, berkata, keadaan cuaca pada siang hari ini ketika ini menyebabkan pokok getah berhenti mengeluarkan susu selepas 30 minit, berbanding antara dua hingga tiga jam sebelum ini,

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan dia tiada pilihan bekerja pada waktu malam berikutan pengeluaran susu getah terjejas teruk sehingga 50 peratus, sekali gus pendapatannya juga turut terjejas.

"Kami ni tak ada pilihan, kalau ada pilihan sumber pendapatan lain, memang dah tak menoreh dah," katanya.

Menurut Subuh, keadaan itu meresahkan mereka yang perlu mengharungi cuaca angin monsun timur laut sehingga April depan.

Kebun getah yang kering dan kehilangan daun akibat cuaca panas.
Kebun getah yang kering dan kehilangan daun akibat cuaca panas.

Pada musim ini, Subuh memberitahu perlu menoreh selama lima malam berturut-turut bagi memenuhkan cawan getah bersaiz sekilogram (kg) getah.

"Berbanding dulu, saya cuma perlu membuat dua kali torehan sahaja untuk mendapatkan susu yang penuh dalam satu cawan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dia yang mempunyai kira-kira 1,000 pokok getah berkata, dia perlu menoreh separuh daripada jumlah tersebut bagi mendapatkan hasil torehan sekurang-kurangnya 300kg sebulan.

Bagi Mohd Syafiq Aminuddin, 17, dia juga perlu menggunakan waktu malam untuk menoreh bersama bapanya.

"Saya belajar pada waktu siang dan malam seawal jam 11 malam saya mula masuk ke kebun bersama ayah.

"Menoreh pada waktu malam ini kita kena berhati-hati sikit takut melukakan kulit pokok getah," katanya.

Mohd Syafiq
Mohd Syafiq

Harga komoditi getah di pasaran ketika ini dilaporkan RM2.90, meningkat sedikit berbanding RM2.50 pada September tahun lalu, namun peningkatan harga berkenaan tidak banyak membantu golongan penoreh yang berdepan cabaran cuaca panas ketika ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!