PH takut kalah pilihan raya - Wan Ahmad Fayhsal

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) didakwa takut kalah jika pilihan raya kecil (PRK) diadakan di enam kawasan Parlimen bekas wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Armadanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa, pakatan itu sanggup menipu rakyat susulan keputusan melibatkan kedudukan enam ahli Parlimen yang dikekalkan telah melanggar Perlembagaan Persekutuan.

"Betul, Speaker Dewan Rakyat (Tan Sri Johari Abdul) bukan posmen, tetapi posmen pun tahu buat kerja dengan baik dan jujur.

"PH rela menipu diri sendiri, pengundi dan rakyat Malaysia. Mereka adalah munafik politik dan penjahanam demokrasi berparlimen negara.

"Alasan tidak masuk akal, malah dangkal untuk menutup kesalahan Speaker dibuat oleh ahli-ahli Parlimen DAP semalam (dalam Dewan Rakyat). Memalukan diri mereka dan profesion kepeguaman," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini Johari dilapor kekal mempertahankan keputusan tidak mengosongkan kerusi disandang enam bekas wakil rakyat Bersatu selepas melakukan 'siasatan' termasuk membaca semua kenyataan berkaitan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang menjelaskan, tindakan Bersatu yang menghentikan keahlian enam wakil rakyatnya mengikut perlembagaan parti yang telah dipinda selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Saya terlibat dalam semua proses dan menandatangani kenyataan (surat Arahan Khusus Majlis Pimpinan Tertinggi). Enam orang (ahli Parlimen) itu tidak mahu menyatakan pendirian sebab mereka takut terlucut (keahlian), duit dah ambil jadi mereka serba salah.

Artikel Berkaitan:

"Inilah realitinya, demokrasi Parlimen sudah dinodai oleh Kerajaan Madani. Dahulu mereka menentang, hari ini mereka menghalalkan tindakan katak-katak (politik), yang menjahanamkan negara bukan kami tetapi PH," jelasnya.

Selain itu beliau turut mendakwa keputusan Johari dibuat berdasarkan pertimbangan politik dan bukannya mengikut undang-undang.

"Saya yakin pertimbangan yang dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat adalah pertimbangan politik, PH khususnya PKR (Parti Keadilan Rakat) takut kalau kalah di enam kawasan (parlimen), momentum rakyat semakin besar.

"Mereka buat apa sahaja untuk menghalang PRK (pilihan raya kecil) demi mempertahankan kuasa di Putrajaya, khususnya Perdana Menteri," dakwanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!