Raghad buat laporan polis dihalang masuk rumah

Hantaran Raghdad di Instagram berkaitan insiden dilarang masuk ke rumahnya di Kuching, Sarawak.
Hantaran Raghdad di Instagram berkaitan insiden dilarang masuk ke rumahnya di Kuching, Sarawak.
A
A
A

SHAH ALAM - Isteri kepada bekas Yang di-Pertua Sarawak, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud membuat laporan polis selepas mendakwa dihalang memasuki kediamannya di Kuching, Sarawak, minggu lalu.

Toh Puan Raghad Kurdi menerusi hantaran di Instagram memaklumkan, kejadian tersebut berlaku ketika beliau ke daerah itu untuk melawat pusara Allahyarham serta menyampaikan sedekah jariah bagi pihak suaminya.

Sebaik tiba di kediaman itu, beliau berkata, pengawal bertugas memaklumkan tidak mempunyai kuasa untuk membenarkan beliau masuk.

"Kami dihalang ketika sampai di pintu pagar dan pengawal memberitahu, mereka tidak mempunyai kuasa untuk membenarkan saya masuk.

"Tetapi Alhamdulillah, pengawal yang baik hati membenarkan saya masuk. Allah akan sentiasa melindungi dan membela mereka yang dizalimi," menurutnya.

Menerusi hantaran sama, Raghad turut berkongsi beberapa keping foto beliau berada di pintu pagar kediaman bersama pengawal keselamatan dan ketika melawat pusara Taib.

Susulan kejadian itu, Raghad berkata, beliau membuat laporan polis termasuk permohonan yang perlu di mahkamah.

"Saya lakukan semua ini dengan berat hati, saya tidak perlu membuktikan apa-apa kepada sesiapa.

Artikel Berkaitan:

"Beliau (Taib) suami saya, tetapi saya perlu merekodkan perbuatan memalukan yang dilakukan terhadap saya dan menuntut keadilan.

"Saya tahu saya tidak pernah berkongsi cerita sebelum ini, tetapi sudah tiba masanya untuk berbuat demikian," katanya.

Taib meninggal dunia pada 21 Februari lalu di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada usia 87 tahun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!