PM, Menteri Kabinet hadir rumah terbuka TBC
KLANG - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa lagi menteri Kabinet hari ini menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina 2020 yang dihoskan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Dewan Perdagangan dan Industri Cina Klang (KCCCI) di sini.
Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, kedua-duanya kelihatan sungguh menarik berpakaian warna merah jambu dan merah, tiba kira-kira jam 11 pagi dengan disambut Guan Eng.
Beberapa menteri Kabinet yang turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad dan Menteri Industri Utama Teresa Kok, serta Pengerusi KCCCI Tan Sri Lim Kuang Sia.
Kira-kira 1,000 tetamu dari pelbagai lapisan masyarakat menghadiri rumah terbuka ini dan dihiburkan dengan tarian singa serta persembahan tradisional lain yang mewakili rakyat pelbagai budaya di Malaysia.
Dr Mahathir, Dr Siti Hasmah dan tetamu yang lain kemudian bersama-sama melakukan upacara menggaul ‘yee sang’ sebagai simbolik untuk memperoleh nasib yang baik, kesejahteraan dan semua perkara yang dilakukan memperoleh keuntungan.
Sementara itu, Guan Eng dalam ucapannya berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mewakili semua rakyat harus menumpukan tenaga untuk memastikan ekonomi negara bertambah makmur demi kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, usaha perlu dilaksanakan bagi meyakinkan pelabur asing demi mengukuhkan ekonomi negara agar bertambah maju.
"Apapun cabaran yang kita hadapi akan kita lindungi dan memastikan pertumbuhan ekonomi terus dikekalkan dan rakyat akan dapat menghadapi kos sara hidup yang munasabah," katanya.
Guan Eng juga menzahirkan keyakinan bahawa ekonomi negara tahun ini akan lebih baik berbanding tahun lepas.
Beliau berkata, tahun ini yang juga tahun tikus bagi masyarakat Cina telah membawa kemajuan besar kepada negara di bawah pimpinan Dr Mahathir, apabila prestasi Malaysia melonjak ke kedudukan 51 daripada 180 negara bagi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) untuk tahun lepas.
Selain itu, penstrukturan semula kadar tol Lebuh Raya Utara-Selatan yang dikurangkan sebanyak 18 peratus mulai 1 Februari ini membuktikan langkah PH dalam menunaikan janji mereka.
"Ini kali pertama tol dikurangkan. Sebelum ini hanya naik sahaja tapi selepas perubahan kerajaan, ia sesuatu yang kita ingat takkan berlaku. Tahniah dan syabas semua ahli kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!