Amaran ribut taufan di Hong Kong, Malaysia tidak terjejas
SHAH ALAM - Malaysia tidak terjejas secara langsung meskipun Balai Cerap Hong Kong (HKO) memberi amaran akan berlaku ribut taufan di negara itu pada Ahad.
Pakar Meteorologi Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan dan Institut Sains Samudera dan Bumi, Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah menjelaskan, sebilangan besar model cuaca menunjukkan jalur kelembapan utama berada di utara tanah air.
"Oleh itu, Semenanjung Malaysia dijangka mengalami langit cerah dan berangin. Keadaan sama turut dijangka berlaku di Sabah dan Sarawak.
"Hujan yang diramalkan (HKO) akan berlaku adalah dari Vietnam hingga ke Taiwan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini media tempatan Hong Kong melaporkan, HKO memberi amaran bahawa taufan berpotensi terbentuk pada Ahad ini.
Menurut laporan itu, imej satelit menunjukkan kehadiran dua gugusan awan konvektif di Laut China Selatan dan luar pantai Filipina yang berkemungkinan mencipta sistem tekanan rendah, sekali gus menandakan cuaca tidak stabil.
Berdasarkan ramalan jabatan itu, kemungkinan siklon tropika akan melanda Hong Kong seawal pagi Ahad, 14 Julai.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!