Konvensyen bakal jadi wadah kukuhkan perjuangan politik Bersatu

No Image Caption
A
A
A

HARI ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menganjurkan konvensyen di Ideal Convention Centre (IDCC), Selayang yang bertujuan untuk menjelaskan perjalanan persidangan peringkat cawangan, bahagian dan pusat menjelang pemilihan parti pada Oktober ini.

Konvensyen bertemakan 'Mendukung Idealisme, Memperkasa Kesatuan, Membina Kekuatan' itu akan dihadiri barisan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), pemimpin sayap dan akar umbi di peringkat bahagian.

Selain itu turut dilancarkan dokumen 'Idealisme Perjuangan Bersatu' yang dijangka dibahas susulan situasi dalam landskap politik negara ketika ini.

Seperti sedia maklum, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul telah memutuskan tidak mengosongkan enam kerusi ahli Parlimen Bersatu yang berpaling tadah terhadap parti.

Perkara itu menjadi perdebatan bukan sahaja dalam kalangan wakil rakyat, malah turut menarik perhatian pemerhati, ahli politik di peringkat akar umbi dan orang ramai mengenai hak demokrasi berparlimen.

Di samping itu konvensyen turut dijangka menjadi platform perbincangan mengenai strategi serta perancangan parti bagi menghadapai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.

Jika sebelum ini Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta barisan pimpinan Bersatu Sabah memperkukuhkan parti dengan menambah keahlian, kali ini bermungkinan sudah ada draf perancangan untuk memastikan Perikatan Nasional (PN) dapat merampas tampuk kerajaan negeri.

Turut dinantikan, pengumuman pemimpin Bersatu mengenai tindakan susulan terhadap enam wakil rakyat mereka yang menimbulkan banyak persoalan berbanding jawapan.

Artikel Berkaitan:

Sudah pasti, tumpuan bakal terarah kepada amanat Presiden di akhir konvensyen bagi menyingkap formula serta strategi parti dalam menghadapi arus politik negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!