Penarafan JPMorgan bukti ekonomi negara di landasan tepat - Pakar
SHAH ALAM - Ekonomi negara jelas berada di landasan yang tepat susulan institusi perbankan utama dunia, JPMorgan meningkatkan penarafan Malaysia kepada neutral selepas hampir enam tahun mengekalkan pendiriannya pada tahap underweight.
Penganalisis Ekonomi dari UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ia selari dan bertepatan dengan perancangan serta tindakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu atas pelbagai faktor, cabaran dan persaingan, penarafan itu disifatkan sebagai berita gembira kerana usaha kerajaan mendapatkan keyakinan pelabur membuahkan hasil lumayan.
“Ini berita gembira kepada negara terutamanya kerajaan bahawa usaha selama ini adalah benar dan Malaysia berada di landasan yang tepat.
“Ia juga dapat dilihat menerusi prestasi Bursa Malaysia yang terus melonjak kembali apabila lebih ramai pengurus pelabur asing kini aktif dalam pasaran ekuiti kita.
“Pasti penarafan yang lebih baik oleh agensi antarabangsa lain turut menyusul kerana pengaruh besar JPMorgan dalam pasaran modal antarabangsa,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini, Ketua JPMorgan bagi Asia Pasifik (kecuali Jepun dan China), Rajiv Batra memaklumkan, keputusan tersebut didorong beberapa faktor utama termasuk pelaburan berpusatkan data, pembaharuan dasar dan pembinaan infrastruktur.
Ujar Rajiv, tahap kemajuan Malaysia juga dilihat memberangsangkan apabila mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.2 peratus pada suku pertama tahun ini dan pertumbuhan pendapatan menjejaki sekitar 10 hingga 11 peratus.
Menurutnya lagi, prestasi yang memberi impak positif terhadap ekonomi Malaysia memerlukan penilaian semula dan peningkatan seterusnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!