Skuad memanah negara tetap padu di AUG 2024
PRESTASI skuad memanah negara di Sukan Universiti ASEAN (AUG) Surabaya-Malang 2024 yang diperkuatkan atlet penampilan sulung tetap membanggakan pasukan tersebut, menurut pengurus, Suhardi Abdullah @ Md Zain.
Jelas Suhardi, sasaran diletakkan terhadap barisan pemanah negara untuk edisi ke-21 adalah empat pingat emas, namun hanya tiga berjaya dibawa pulang dari bumi Malang.
Katanya, secara keseluruhan skuad memanah merangkul tiga emas, enam perak dan satu gangsa berbanding empat emas, lima perak dan satu gangsa semasa edisi Ubon Ratchathani 2022.
“Seramai 12 daripada 16 atlet pemanah negara yang dibawa ke Surabaya-Malang merupakan pertama kali yang mewakili Malaysian University ke temasya kompetitif.
“Biarpun pertama kali melakukan penampilan di pentas kompetitif mereka tetap menampilkan semangat juang tinggi dalam setiap acara biarpun berdepan saingan sengit lawan jauh berpengalaman.
“Kita juga sudah menjangka saingan sengit daripada tuan rumah yang diwakili atlet negara, selain sedia maklum atlet muda mereka sedang meningkat naik,” katanya yang percaya persiapan lebih rapi kontinjen negara dapat menghasilkan kejayaan sebagai penganjur pada edisi 2026.
Pada masa sama, paling membanggakan terdapat lima dalam kalangan pemanah negara yang berjaya melakukan personal best (PB) pada edisi Surabaya-Malang 2024 kali ini.
“Paling menyerlah Muhammad Danieal Haqiemi Sohebi yang berjaya meraih dua emas dalam acara compound lelaki individu dan compound lelaki berpasukan.
“Turut membanggakan adalah pasukan compound wanita diwakili Nur Nisa Aliya Muhamad Radzif, Aina Syazwana Abdul Muhaimin dan Natasha Mohd Shahruddin yang berjaya menewaskan trio tuan rumah Indonesia dalam acara berpasukan.
“Penampilan pertama ketiga-tiga atlet ini yang bukan atlet bawah program MSN (Majlis Sukan Negara) tetapi berjaya menewaskan trio Indonesia yang pernah beraksi di Sukan SEA, sesuatu yang membanggakan skuad memanah,” katanya.
Mengenai potensi atlet edisi Surabaya-Malang 2024 mengisi slot AUG 2026 Suhardi berkata, sebanyak 75 peratus atlet negara di AUG 2024 masih layak mengalas cabaran bagi edisi 2026 nanti.
“Biarpun begitu, kita akan sentiasa memantau prestasi atlet-atlet mereka selepas ini, kerana adalah amat penting untuk mereka mengekalkan prestasi yang konsisten dalam setiap kejohanan disertai bagi membuka laluan peluang ke AUG 2026,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!