Penerokaan minda masih relevan
PADA tahun ini usia Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) atau Federal Land Development Authority (Felda) cecah 68 tahun. Sebuah gagasan yang tercipta dengan hanya satu cita-cita murni iaitu membasmi kemiskinan kalangan watannya.
Sejak itu, sehingga tahun 1990 tersematlah wira-wira bangsa, terdiri daripada seramai 112, 635 lelaki hebat memimpin keluarga masing-masing melakukan tiga hal iaitu sama ada menoreh, menyawit atau menebu.
Luas ladang peneroka seluruh negara adalah 450,652.12 hektar. Rancangan Felda terakhir di Semenanjung adalah Felda Palong 16 di Negeri Sembilan dan di Malaysia Timur pula ialah Sahabat 2 di Sabah.
Ini berlaku pada era 90-an. Selepas itu, tiada lagi tanah rancangan berpeneroka dibuka, ia hanya estet-estet yang mula diupaya supaya boleh memacu Felda mandiri melalui Permodalan Niaga Felda (PNF), Felda Holdings, kemudian Kumpulan Felda dan ia berjaya.
Alhamdulillah, Felda berjaya melangsaikan semua hutangnya kepada Bank Dunia sekitar tahun 2000.
E: Ekosistem masyarakat ini kemudiannya diperkasakan, yang asalnya hanya ada tiga entiti iaitu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Gerakan Persatuan Wanita (GPW) dan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) telah berkembang kepada Kami Anak Felda (KAF), Permuafakatan Siswa/Siswi Felda (Persada) serta Gabungan Pemikir Profesional Felda (Gaprof).
Ini tidak termasuk inisiatif masyarakat sendiri seperti Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), koperasi-koperasi rancangan dan melangkau juga pada era ini iaitu ‘warga netizen Felda’.
Ia adalah simbol bahawa komuniti kita ini besar dan berkembang. Semasa kita ada Felda United, kelab penyokong juga merupakan cabang komuniti. Cerita pendek, warga Felda signifikan kepada pembangunan sosio-ekonomi negara.
Generasi yang asalnya makan dan membesar dengan hasil sawit dan getah itu menjadi terdidik dan berkeyakinan.
Mereka masuk universiti, menjadi usahawan dan kakitangan kerajaan serta bergelar profesional termasuk profesor dan doktor.
N: No Need To Be Poor, moto awal penubuhan Felda benar-benar mengazimat jalan-jalan perjuangan seorang peneroka.
Saya masih ingat Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan Sambutan Hari Peneroka di pekarangan hadapan Menara Felda yang dinamakan Mercu Pusaka Wangsa, menyatakan bahawa kejayaan warga Felda dan peneroka adalah dipandukan oleh Roh Kepenerokaan (The Pioneering Spirits).
Apa kata dia? Peneroka berjaya kerana memiliki tabah, cekal, setia, berani dan bersyukur.
Semangat ini jugalah yang sewajarnya ada dalam sanubari kita, anak-anak dan generasi baharu Felda. Tanam, suburkan dan banggakannya segenap masa.
KUASA EKONOMI MALAYSIA
E: Economic-Power-House adalah seperkara lagi yang pernah dihasratkan. Felda dengan kekuatan ahli masyarakat dan keluasan tanah sememangnya boleh menjadi kuasa ekonomi Malaysia.
Ia berasal daripada frasa emas Allahyarham Tun Razak, juga yang menyebut bahawa Felda ini untuk insan yang tidak bertanah, tanah yang baik kepada insan yang baik dan diakhiri dengan yang serba lemah itu akan menentukan kuasa.
Lanjutannya, ia selalu disebut pada era moden sebagai land for the landless, power for the powerless dan political-power-house.
Garapan ini tepat sekali kerana kawasan rancangan Felda melingkari komponen kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Memori terakhir saya, ada 54 kawasan Parlimen di Malaysia yang ada tanah rancangan Felda. DUN ada 92 kawasan jika saya tidak silap.
Kemudian, Datuk Seri Najib ketengahkan pula idea untuk menjana kemajuan warga Felda daripada gerombolan manusia tabah yang meneroka tanah, menjadi gerombolan insan meneroka minda.
Di akhir kenangan itu, saya masih terbayang, “Jika 50 tahun pertama Felda adalah tentang meneroka tanah, maka untuk 50 tahun kedua adalah perihal meneroka minda.”
Ketika itu, sibuk perihal K-Ekonomi dan kini ada frasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Dahulu kita ada banyak kolej kemahiran di bawah Kumpulan Felda. Masih ada lagi kah? Bagus jika ia direkayasa.
R: Razak Hussein (Tun) yang mengasaskan Felda telah berjaya pada peringkat asas tujuannya. Sungguh pun sudah tiada lagi orang miskin dalam kalangan warga peneroka, namun generasi baharu masih boleh diperlengkap dan disediakan fasilitasi untuk menerobos peluang-peluang baharu.
Pendidikan dan keusahawanan adalah ehwal yang boleh diperkasakan. Elemen meneroka minda mesti dilakukan. Pengetahuan, ilmu dan pengalaman generasi yang diperkaya boleh menjelmakan imej Felda yang lebih bold.
Ada banyak yang masih boleh dilakukan terhadap cita-cita membangunkan modal insan, sama ada secara jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI). Jeri ini, nama kampung saya.
Justeru, penerokaan minda masih relevan. Lakukanlah dan ia akan menjadi kapasitor yang mampu menyalakan semangat no need to be poor.
O: Orang Felda ini asalnya terdiri daripada dua kalangan iaitu pegawai dan peneroka. Ia membesar kemudian kita boleh tahkikkan dengan pegawai, ahli keluarga pegawai, peneroka, penerokawati dan anak-anak peneroka.
Dinamika ini terus berkembang dan kita boleh kata ia termasuk juga generasi baharu yang sampai kepada ketiga dan keempat.
Ditambah pula pasukan pegawai yang juga membesar termasuk anak-anak syarikat, ahli Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF), KPF 2 dan seluruh Felda Holdings (kini jika saya boleh sebut, itulah yang membentuk Felda Global Ventures).
Orang-orang Felda ini mestilah sepakat, saling membahu. Inilah resipi untuk bangkit semula.
K: Komoditi awal pembangunan idea ini asalnya pelbagai. Seingat saya adalah sawit, getah dan tebu (di Chuping). Ia kemudiannya terhad kepada sawit dan getah.
Saya masih ingat di tempat saya (Johor), biasa sahaja kita nampak sawit seperti di kawasan saya, zon Taib Andak, kampung saya Sungai Sibol, Linggiu, Sungai Sayong, Bukit Besar, Bukir Ramun dan Pasir Raja.
Jauh sedikit, sebelah Kota Tinggi kita boleh lihat getah seperti di Aping Timur, Aping Barat, Sungai Mas dan Papan Timur. di utara Johor ada getah di Ayer Itam, Bukit Batu, Bukit Permai, Chempelak dan Chempelak Barat.
Data terkini, seramai 100,854 peneroka adalah pengusaha komoditi sawit dan bakinya getah iaitu sekitar 11,784 orang. Daripada jumlah ini, kita tahu bahawa Felda kita ini menerajui industri sawit negara. Hebatkan?
A: Aspirasi Felda Glokal adalah antara masterpiece terbaik pernah dicetuskan untuk memacu kemaraan Felda bagi tempoh 50 tahun kedua. Siapa cetus? Najib Tun Razak orangnya.
Lima aspirasi itu ialah Komuniti Felda menjadi komuniti contoh luar bandar; Warga peneroka menjadi golongan berpendapatan tinggi; Felda menjadi pelaku global; Membangunkan potensi generasi baharu dan Memperkukuhkan budaya Felda sebagai institusi.
Tetapi aspirasi ini saya tidak pasti keberadaannya lagi. Selepas rakyat melakukan manoeuvre dalam pilihan pemerintah, rasanya ia terus kelam dan tidak pasti pada masa kini.
Apa pun, tidak perlulah rakyat getun, sentiasa ada masa untuk memperbaiki dan sepatah kata orang lama, ‘sesat hujung jalan, balik ke pangkal jalan’.
Felda kini masih unggul dalam industri sawit dan fokus itu mungkin amat berbaloi. Kita doakan yang terbaik buat Felda agar rahmahnya nanti dapat warga peneroka, kitalah itu nikmati.
Terima kasih Allahyarham Tun Razak dan Najib Tun Razak yang memeta Transformasi Felda Glokal, Felda 1 Di Dunia. Semoga bangkit dan menjadi tunjang kembali sebagai economic-power-house dan institusi contoh pembangunan luar bandar yang dinamik dan outstanding. Insya-ALLAH.
* Manndzri Nasib merupakan anak jati Felda Pengeli Timur
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!