Karnival Rakyat Karangkraf sedia perkhidmatan shuttle, parkir warga emas, OKU

Suzana
Suzana
A
A
A

SHAH ALAM - Perkhidmatan shuttle serta kemudahan parkir untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) akan disediakan kepada pengunjung sepanjang berlangsungnya Karnival Rakyat Karangkraf 2024 pada 26 hingga 28 Julai ini.

Pengurus Pentadbiran dan Pengurusan Harta Karangkraf, Suzana Ab Gani berkata, pengunjung tidak perlu risau untuk meletakkan kenderaan jauh dari tapak karnival kerana terdapat perkhidmatan shuttle yang disediakan bagi memastikan mereka selamat tiba di lokasi.

“Kita faham selalunya kalau ada sebarang acara besar parkir memang terhad, jadi tahun ini kita akan menambah bilangan shuttle untuk bawa mereka ke tapak karnival.

“Selain itu bagi ahli keluarga yang membawa warga emas, ibu mengandung dan OKU juga kita beri keutamaan selain sediakan tempat meletakkan kenderaan khas berhampiran pintu utama," katanya.

Selain itu, ujarnya, kemudahan seperti tandas, surau dan tempat makan turut disediakan bagi memastikan tetamu yang hadir berasa selesa.

“Fasiliti seperti surau, tandas dan tempat makan turut disediakan kepada pengunjung sepanjang berlangsung karnival berkenaan.

“Mereka boleh terus menikmati suasana dan meluangkan masa melakukan pelbagai aktiviti menarik tanpa perlu keluar,” katanya kepada Sinar Harian.

Karnival Rakyat Karangkraf bakal membawa kelainan apabila mengembalikan nostalgia zaman dahulu menerusi tema tradisional dan kerakyatan membabitkan dua komponen utama iaitu sukan rakyat serta pentas rakyat.

Artikel Berkaitan:

Program itu akan bermula dari jam 9 pagi hingga 7 malam di Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 di sini yang mana penganjurannya adalah bersempena ulang tahun Sinar Harian yang ke-18.

Sementara itu, Penolong Pengurus Unit Keselamatan dan Kesihatan Jabatan Pentadbiran dan Pengurusan Harta Karangkraf, Ahmad Fauzi Yusop berkata, sepanjang karnival berlangsung, keselamatan pengunjung menjadi keutamaan.

Ahmad Fauzi
Ahmad Fauzi

Ahmad Fauzi memberitahu, pihaknya juga akan memastikan aliran trafik pada hari-hari berkenaan berada dalam keadaan terkawal kerana jumlah pengunjung dijangka lebih ramai daripada tahun sebelumnya.

“Kita akan pastikan aliran trafik berada dalam keadaan baik kerana tempat meletakkan kereta agak terhad, sekali gus memastikan tiada insiden buruk berlaku sepanjang berlangsungnya karnival.

“Malah, pihak kami juga akan cuba sedaya upaya untuk membantu para pengunjung bagi memastikan laluan keluar masuk yang digunakan berjalan dengan lancar,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!