Tempoh dua minggu 'kritikal' buat Azeem

Azeem perlu menyerap semua strategi sepanjang 14 hari terakhir menjelang aksinya yang dijadual pada 3 Ogos.
Azeem perlu menyerap semua strategi sepanjang 14 hari terakhir menjelang aksinya yang dijadual pada 3 Ogos.
A
A
A

TEMPOH dua minggu sebelum hari perlumbaan menjadi detik penting buat jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi untuk beraksi pada tahap terbaik pada Sukan Olimpik 2024 di Paris nanti.

Pengarah Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard berkata, atlet berusia 20 tahun itu perlu menyerap semua strategi sepanjang 14 hari terakhir menjelang aksinya yang dijadual pada 3 Ogos.

Pemenang pingat gangsa dalam acara 100 meter (m) di Sukan Asia Hangzhou dengan catatan 10.11 saat (s) itu dijadual bersaing di Stade de France.

"(Prestasinya) hampir sama ketika Sukan Asia. Kini kita berada di fasa terakhir yang amat penting bagi mencapai kemuncak dalam tempoh dua minggu (sebelum hari perlumbaan).

"Kamu boleh melakukan semua persiapan dalam tempoh empat tahun, tetapi jika gagal melaksanakan semua strategi yang betul dalam tempoh dua minggu ini, kamu akan terlepas peluang untuk melakukan yang terbaik," katanya.

Ballard
Ballard

Ballard yang pernah beraksi pada Sukan Olimpik Seoul 1988 akan cuba menyediakan khidmat sokongan terbaik buat Azeem untuk mencapai prestasi sebenarnya di Paris.

Beliau juga akan cuba menyediakan perkhidmatan profesional menerusi kerjasama dengan Institut Sukan Negara (ISN).

Artikel Berkaitan:

Malah beliau juga akan berkongsi pengalaman berada di final temasya terbesar dunia itu dan melatih atlet di peringkat Olimpik sebelum ini.

"Kami akan cuba memudahkan atlet dan ini salah satu pertandingan yang besar.

"Kami mahu kamu mencapai kemuncak (prestasi) dalam pertandingan ini, tetapi kami tidak meminta kamu untuk melakukan sesuatu yang luar biasa.

"Kami hanya mahu kamu melakukan apa yang sudah dilakukan dalam latihan kerana itulah tujuan latihan," katanya.

Azeem merupakan pemegang rekod kebangsaan dalam acara 100 meter dengan catatan 10.09s.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!