Pekerja Samsung mogok

Ahli Kesatuan Samsung Electronics Kebangsaan mengadakan mogok di luar sebuah kilang di Hwaseong pada 8 Julai lalu. Foto AFP
Ahli Kesatuan Samsung Electronics Kebangsaan mengadakan mogok di luar sebuah kilang di Hwaseong pada 8 Julai lalu. Foto AFP
A
A
A

SEOUL – Selepas tiga hari melakukan mogok bagi menuntut faedah dan gaji yang lebih munasabah, wakil kesatuan pekerja Samsung Electronics di Korea Selatan menyatakan bahawa mereka akan melanjutkan mogok sehingga satu tempoh tidak ditetapkan dalam usaha memaksa pihak pengurusan untuk berunding.

Menurut Kesatuan Elektronik Samsung Kebangsaan dalam satu kenyataan, pihaknya mengisytiharkan mogok sehingga tarikh yang belum ditentukan mulai 10 Julai selepas mengetahui pihak pengurusan enggan berunding.

Lebih 5,000 ahli berhenti bekerja pada Isnin lalu untuk menyertai mogok tiga hari, yang merupakan sebahagian daripada pertikaian berpanjangan mengenai gaji dan faedah.

Wakil kesatuan melaungkan slogan ketika mengadakan protes di luar ibu pejabat Samsung Electronics di Seoul. Foto AFP
Wakil kesatuan melaungkan slogan ketika mengadakan protes di luar ibu pejabat Samsung Electronics di Seoul. Foto AFP

Kesatuan itu mempunyai lebih 30,000 ahli iaitu lebih satu perlima daripada jumlah tenaga kerja syarikat berkenaan.

Tuntutan kesatuan itu yang baru didedahkan baru-baru ini merangkumi kenaikan gaji sebanyak 5.6 peratus untuk semua anggota, bonus berasaskan prestasi yang telus, pampasan bagi kerugian kewangan yang ditanggung akibat mogok dan hari cuti pada hari penubuhan kesatuan.

Pekerja sebelum ini menolak tawaran kenaikan gaji sebanyak 5.1 peratus, dengan kesatuan sebelum ini menggariskan beberapa tuntutan termasuk penambahbaikan cuti tahunan dan bonus.

Sementara itu, Samsung Electronics memberitahu AFP bahawa mogok itu tidak akan menjejaskan pengeluaran.

Artikel Berkaitan:

“Samsung Electronics akan memastikan tiada gangguan berlaku dalam barisan pengeluaran. Syarikat kekal komited untuk terlibat dalam rundingan dengan niat baik bersama kesatuan,” kata seorang jurucakapnya.

Bagaimanapun, Kesatuan Samsung Electronics Kebangsaan mengesahkan berlaku gangguan yang jelas dalam pengeluaran dan menambah, semakin lama mogok berlangsung, semakin banyak pihak pengurusan akan menderita.

“Akhirnya nanti, mereka (pengurusan) akan berlutut dan datang ke meja rundingan. Kami yakin akan mencapai kemenangan,” tambah kesatuan itu.

Meskipun bantahan pada tahap industri, syarikat berkenaan meneruskan acara besar kelmarin di Paris dengan memperkenalkan produk baharu dan menggembar-gemburkan peranti bersama kecerdasan buatan (AI) syarikat itu.

Pembesar suara digunakan semasa mogok bagi menyampaikan hasrat kepada pengurusan Samsung. Foto AFP
Pembesar suara digunakan semasa mogok bagi menyampaikan hasrat kepada pengurusan Samsung. Foto AFP

Samsung Electronics ialah pembuat cip memori terbesar di dunia dan menyumbang kepada sebahagian besar keluaran global cip yang digunakan dalam kecerdasan buatan (AI) generatif.

Samsung Electronics berjaya mengelak pekerjanya daripada bersatu selama hampir 50 tahun, kadangkala menggunakan taktik ganas, menurut pengkritik, sungguhpun menempa nama sebagai pengeluar telefon pintar dan semikonduktor terbesar di dunia.

Pengasas syarikat Lee Byung-chul yang meninggal dunia pada 1987 dengan tegas menentang kesatuan sekerja mengatakan dia tidak akan membenarkan mereka ‘sehingga saya dikuburkan’.

Ahli Kesatuan Samsung Electronics Kebangsaan melaungkan hak mereka sebagai pekerja semasa mogok berlangsung di pekarangan sebuah kilang di Hwaseong. Foto AFP
Ahli Kesatuan Samsung Electronics Kebangsaan melaungkan hak mereka sebagai pekerja semasa mogok berlangsung di pekarangan sebuah kilang di Hwaseong. Foto AFP

Firma itu ialah anak syarikat utama gergasi Korea Selatan, Samsung Group, setakat ini yang terbesar dalam kalangan konglomerat dikawal keluarga yang menguasai perniagaan dalam negara ekonomi keempat terbesar di Asia.

Samsung baru-baru ini meramalkan peningkatan lebih 15 kali ganda dalam keuntungan operasi untuk suku kedua tahun ini, hasil daripada permintaan yang semakin meningkat untuk AI generatif. - AFP

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!