Badan khas urus kutip derma orang ramai
SHAH ALAM - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Rasuah Busters menyuarakan negara memerlukan satu badan khas menyelia dan mengurus kutipan derma orang ramai bagi mengelakkan kes penyelewengan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nurhayati Nordin berkata, ia penting untuk mengawal salah guna kuasa dan potensi rasuah di dalam sektor itu.
“Satu badan khas boleh diwujudkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) untuk mengurus tadbir amanah orang ramai terhadap kutipan dana dan sebagainya. Ia berfungsi mengawasi, menawarkan nasihat, menyiasat dan melindungi hak-hak serta kepentingan orang ramai melalui saluran undang-undang yang betul.
“Selain itu badan ini juga perlu diwujudkan bagi melindungi kepentingan awam dan bertanggungjawab memastikan organisasi beramal secara sah serta beretika menurut garis panduan yang ditetapkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Pada Khamis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman empat individu termasuk pasangan suami isteri yang merupakan pempengaruh kerana disyaki terbabit dalam salah guna dana derma awam berjumlah RM3 juta.
Menurut sumber, kesemua suspek iaitu tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 30-an telah ditahan antara jam 6.30 petang hingga 11 malam pada Rabu ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Tambah Nurhayati, badan yang ditubuhkan perlu bermatlamat memberi impak sosial bukan hanya berorientasikan keuntungan.
Maka ujarnya, melestarikan kewangan dan pengurusan sumber dengan cekap amat penting dalam membina kepercayaan awam.
“Pemegang taruh sama ada penderma atau penerima manfaat mahupun sukarelawan juga harus sentiasa peka terhadap implikasi undang-undang dan berpegang kepada nilai etika sepanjang melaksanakan apa juga urusan berkaitan sumbangan.
“Organisasi amal ini lazimnya wujud atas hasrat yang murni bagaimanapun atas ketamakan, lemahnya literasi kewangan dan kompetensi pengurusan, objektif penubuhan sering kali tersasar serta membuka ruang manipulasi untuk kepentingan pihak tertentu.
“Kita tak mahu siasatan hanya bermula setelah wang habis digunakan, objektif gagal dan nasi sudah menjadi bubur,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, kutipan derma perlu dilakukan oleh organisasi berdaftar dan perlu mendapatkan kelulusan sebelum pungutan dibuat.
Menurutnya, syarat atau jumlah peratusan dana yang dipotong untuk pengurusan perlu dimaklumkan kepada penderma dan laporan audit juga patut dibentang kepada pemberi.
Dalam pada itu, ujar beliau, pihak kerajaan wajar memantau kutipan tersebut bagi mengelakkan salah guna dana yang semakin berleluasa.
“Semua pihak perlu menjalankan peranan dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa bagi memastikan ia tidak terus merebak.
“Orang ramai juga patut lebih cakna dan membuat siasatan latar belakang setiap NGO yang hendak disumbangkan serta bertindak membuat laporan sekiranya terdapat unsur penyelewengan dalam kutipan yang dibuat,” tegasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!