PATI hidup 'selesa' diami apartmen sewa lebih RM2,000 sebulan
KUALA LUMPUR - Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang hidup 'selesa' di unit apartmen di Brickfields di sini dengan bayaran sewa lebih RM2,000 sebulan terbongkar menerusi serbuan, pada Sabtu.
Operasi pada jam 12.15 tengah malam yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur itu bertindak memeriksa 122 individu pelbagai warganegara.
Sinar Harian yang mengikuti operasi terbabit difahamkan beberapa unit apartmen 19 tingkat dan enam blok itu dihuni warga asing.
Difahamkan juga, rata-rata warga asing bekerja di kawasan berhampiran sebagai tukang jahit, pekerja kedai makan serta tukang cuci.
Seorang lelaki warga asing dikenali sebagai Aley berkata, dia menetap di Malaysia sejak 14 tahun lalu di beberapa tempat.
"Di sini (apartmen) ini, saya duduk di unit empat bilik dengan beberapa warga asing lain.
"Setiap bulan saya akan kutip daripada (penghuni) setiap bilik dan bayaran bulanan RM2,500. Rumah ini milik orang tempatan," katanya.
Operasi yang tamat jam 4 pagi itu turut menyaksikan beberapa tindakan warga asing yang cuba menyorok di dalam almari, berpura sakit selain menangis ketika ditahan.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi hasil risikan selama dua minggu itu berjaya menahan 40 PATI terdiri daripada 24 lelaki, 14 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan.
Menurutnya, pecahan tangkapan membabitkan 25 warga India, Sri Lanka (10), Pakistan dan Myanmar masing-masing dua orang serta seorang lagi ialah Bangladesh.
"PATI yang ditahan berusia 3 hingga 61 tahun disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
"Antaranya tidak memiliki pas atau permit untuk tinggal di Malaysia, pas tamat tempoh serta tinggal lebih masa," ujarnya.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!