Nafi tahap perkembangan perolehan LCS rendah

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Norden menafikan perkembangan proses pelaksanaan perolehan kapal tempur pesisir (LCS) adalah rendah seperti yang dilaporkan Jabatan Audit Negara.

Menurut beliau, hasil audit itu bukan merujuk kepada perkembangan perolehan tahun ini atau beberapa tahun lalu tetapi membabitkan kapal-kapal yang tidak siap.

Beliau memberitahu, Kerajaan Perpaduan meneruskan pembinaan selepas mengambil alih pemerintahan dan ada yang sudah berjaya diuji bagi memastikan reka bentuk sesuai atau sebaliknya.

Mohamed Khaled Norden
Mohamed Khaled Norden

"Kita menjangkakan kapal pertama akan siap pada 2026 dan isu ini sudah dapat diselesaikan dengan peruntukan dan pembinaan dilaksanakan dengan baik.

"Jika kita gagal untuk membina atau menyiapkan kapal atau perolehan kapal baharu, memang akan menjejaskan lagi kesiapsiagaan kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Machang 2024 di sini pada Jumaat.

Media sebelum ini melaporkan mengenai prestasi perolehan dan penerimaan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak memuaskan berikutan tidak dilaksanakan mengikut perancangan sekali gus boleh menjejaskan sasaran pegangan kapal di bawah Program Transformasi TLDM.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Khaled (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang pelajar cemerlang di jajahan Machang.
Mohamed Khaled (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang pelajar cemerlang di jajahan Machang.

Semakan audit mendapati prestasi perolehan dan penerimaan kapal TLDM sehingga 31 Disember 2022 adalah rendah berbanding sasaran 18 kapal ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Audit turut melaporkan jumlah perolehan berkenaan jauh lebih rendah apabila empat kapal diterima atau 22.2 peratus dengan sembilan lagi dalam proses pelaksanaan perolehan daripada keseluruhan enam kapal tempur pesisir (LCS), 10 kapal misi pesisir (LMS) dan dua kapal sokongan pelbagai guna (MRSS).

Sementara itu, Mohamed Khaled turut memaklumkan negara baharu sahaja melakukan perolehan tiga kapal LMS yang baharu dari Turkeye membabitkan penghantaran pada Oktober, November dan Disember 2027.

"Justeru, kita kini sudah ada lima LCS, tiga LMS dan akan memperoleh kapal lain dari masa ke masa di samping kapal sedia ada yang masih lagi boleh dipakai," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!