Sindiket rokok, minuman keras bernilai lebih RM700,000 tumpas

Pelbagai jenis minuman keras dan rokok tidak berkastam dirampas hasil serbuan dijalankan di Masai serta Tampoi pada Rabu dan Jumaat lalu.
Pelbagai jenis minuman keras dan rokok tidak berkastam dirampas hasil serbuan dijalankan di Masai serta Tampoi pada Rabu dan Jumaat lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor menumpaskan sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras tidak bercukai kastam dengan rampasan bernilai RM725,324 menerusi dua serbuan di Masai serta Tampoi, di sini pada Rabu dan Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, serbuan itu dilakukan Unit Risik Marin (URM), Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Tampoi dan Cawangan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman.

Katanya, serbuan pertama dilakukan ke atas sebuah premis penyimpanan minuman keras tidak berkastam di Taman Megah Ria, Masai pada jam 7.30 malam Rabu.

"Seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun ditahan dan hasil pemeriksaan menjumpai 70 karton minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM60,324.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 76 Akta Eksais 1976," ujarnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, dalam serbuan kedua pula, polis menahan dua lelaki warga tempatan berusia 23 dan 29 serta sebuah lori di Jalan Persiaran Aliff Harmoni Utama, Tampoi di sini, pada jam 9.30 malam Jumaat.

"Hasil pemeriksaan ke atas lori tersebut telah menjumpai 105 kotak rokok tidak berkastam. Polis turut merampas lori lima tan yang digunakan itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegas Kumar, Polis Johor komited dalam melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap aktiviti penjualan minuman keras tidak berkastam dan juga aktiviti pemprosesan minuman keras tiruan.

"Anggota masyarakat digesa agar terus menyalurkan maklumat kepada polis tentang apa juga aktiviti yang menyalahi undang-undang dan peraturan agar keselamatan negara dan ketenteraman awam terpelihara," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!