Ujian karakter buat Pearly-Thinaah
PEMAIN badminton beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah tiada pilihan kecuali menampilkan gaya permainan luar biasa selepas diundi dalam 'kumpulan maut' Sukan Olimpik Paris 2024 pada Jumaat.
Malah menurut Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, kedua-dua pemain itu juga perlu mempamerkan semangat melawan tinggi kerana tiada yang mustahil dalam saingan berintensiti tinggi seperti Sukan Olimpik.
"Ya, undian yang mencabar untuk Pearly-Thinaah, tapi ini temasya Sukan Olimpik yang saya harap mereka berdua akan play got nothing to lose.
"Paling penting, mereka juga harus sedar bahawa untuk menang itu bukan sesuatu yang mudah dan bukan sekadar harap diundi dalam kumpulan mudah atau sebaliknya.
"Malah mereka harus bersedia untuk memperagakan semangat melawan tinggi bagi melepasi peringkat kumpulan, sekurang-kurangnya sebagai keyakinan saingan seterusnya," katanya.
Laluan berliku menanti gandingan beregu wanita, Pearly-Thinaah setelah diletakkan dalam Kumpulan A bersama pemenang pingat perak edisi Tokyo 2020 juga gandingan nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yifan.
Pearly-Thinaah juga akan berdepan wakil Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti yang berstatus nombor sembilan dunia.
Selain itu, gandingan nombor 13 dunia tersebut juga akan berentap dengan beregu nombor enam dunia dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!