Jenayah komersial catat kerugian lebih RM1.2 bilion

Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf
Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jumlah kerugian melibatkan kes jenayah komersial mencatatkan peningkatan sebanyak 83 peratus iaitu lebih RM1.2 bilion setakat 7 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, angka pada minggu ke-27 ini merekodkan nilai kerugian tertinggi berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

"Statistik mencatatkan angka kerugian bagi kes jenayah komersial telah mencecah RM1,207,620,852.73 bagi tahun 2024.

"Jumlah ini sekali gus merekodkan peningkatan ketara jika dibandingkan dengan RM660,886,627.91 yang direkodkan bagi tempoh sama tahun 2023," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, nilai kerugian tinggi ini susulan daripada jumlah kes yang telah mencatatkan kenaikan.

"Sejumlah 15,500 kes jenayah komersial telah direkodkan bersamaan dengan purata 65 kes sehari bagi tempoh sehingga 7 Julai pada tahun ini.

"Secara perbandingan, jumlah kes meningkat 34 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan sejumlah 11,546 kes," katanya.

Menurutnya, peningkatan kes ini merupakan cabaran yang menuntut komitmen tinggi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya JSJK dalam memerangi jenayah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga kini, ia telah dapat ditangani dengan baik dan telah dizahirkan melalui 5,559 kertas siasatan yang telah berjaya dituduh pada tahun ini.

"Kadar pertuduhan ini malahan lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun 2023 yang mencatatkan sejumlah 2,218 pertuduhan," katanya.

Ramli berkata, peningkatan kes jenayah komersial ini turut memerlukan kerjasama komitmen bersama dengan masyarakat khususnya dari aspek pencegahan.

"PDRM menyeru penglibatan setiap lapisan masyarakat untuk sentiasa cakna dengan pelbagai taktik terkini jenayah berkenaan untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.

"Selain itu, masyarakat turut dituntut agar mengambil bahagian dalam pelbagai usaha pencegahan jenayah komersial yang sedang dijalankan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!