Kemenangan lonjak moral KDA FC sebelum bertemu JDT
KEMENANGAN besar 3-0 yang diraih Kedah Darul Aman (KDA) FC ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada aksi kelima Liga Super 2024-2025 pada malam Jumaat terus meningkatkan keyakinan kelab itu untuk menghadapi saingan lebih getir pada separuh akhir Piala FA.
Pengendalinya, Nafuzi Zain berkata, momentum yang sedang diperolehi Sang Kenari itu juga berjaya meningkatkan moral semua pemainnya selepas mereka sedikit demi sedikit mengejar kelompok atasan Liga Super.
“Saya rasa kemenangan ini begitu penting, berhargalah kerana kita tahu kena meneruskan momentum perlawanan dalam mengejar kelompok atasan Liga Super.
“Ini juga persediaan dari segi moral dan keyakinan untuk kita menghadapi perlawanan seterusnya,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan KDA FC bertemu KDN FC di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat.
Jelas Nafuzi, KDA FC kini dibarisi ramai pemain yang bersiap-sedia untuk diturunkan dan ini merupakan satu perkembangan dan persaingan yang sihat untuk pasukan kendalian itu.
Menurutnya, pemain-pemainnya juga perlu bersedia untuk memberikan segala-galanya setiap kali diberikan peluang untuk beraksi terutamanya dalam memenuhi hasrat penyokong untuk melihat pasukan itu meraih kemenangan pada setiap perlawanan.
“Pemain ini mempunyai kualiti yang berbeza dan kesesuaiannya beraksi dengan sesebuah pasukan itu. Sesetengah pemain memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan pasukan dan jurulatihnya terutamanya pemain baru.
“Bagi saya Milos Gordic, saya tidak mempunyai masalah cuma (dia masih mencari) jaringan sahaja, InsyaAllah selepas mendapat jaringan (keyakinan meningkat).
"Saya tahu dia kecewa kerana tidak dapat menjaringkan gol namun jangan putus asa, selagi saya berpuas hati,(dengan prestasi semasanya),” katanya mengulas kegagalan penyerang itu yang masih gagal membuktikan sebagai antara penyudah bahaya KDA FC.
Kejayaan menewaskan KDN FC menyaksikan skuad Nafuzi kini melonjak ke tangga kelima Liga Super selepas lima perlawanan.
Sang Kenari seterusnya akan menghadapi separuh akhir Piala FA bertemu juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 19 Julai ini di laman sendiri sebelum aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim pada 4 Ogos.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!