KPKM peruntuk lebih RM33 juta tingkat hasil produk agromakanan
SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperuntukkan lebih RM33 juta kepada kerajaan negeri Sabah bagi membangunkan dan mengoptimumkan penggunaan tanah dalam meningkatkan hasil produk agromakanan negara.
KPKM dalam satu kenyataan memaklumkan, peruntukan berkenaan merupakan inisiatif belanjawan khas bagi tahun 2024 bagi projek pembangunan bersama kerajaan negeri.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan melalui Belanjawan 2024 telah meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi pelaksanaan projek pembangunan bersama kerajaan negeri.
“Susulan itu, KPKM telah memperuntukan sebanyak RM33,593,226 kepada kerajaan Sabah yang merupakan peruntukan tertinggi berbanding negeri lain.
“Peruntukan di bawah program ini telah disalurkan secara berperingkat kepada kerajaan negeri Sabah pada 4 April 2024 dan 14 Mei 2024 bagi memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu turut menyerahkan cek cura berjumlah nilai peruntukan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika kunjungan hormat ke kediaman rasmi milik Hajiji pada Jumaat.
Mengulas lanjut, KPKM memberitahu bahawa penyaluran peruntukan itu adalah meliputi tujuh buah projek yang dikemukakan oleh kerajaan negeri Sabah melibatkan pemerkasaan ternakan bersepadu ruminan, pembangunan 23 buah pusat pengumpulan hasil tani dan pemulihan sawah-sawah padi terbiar seluas 534.55 hektar.
Seterusnya, pembinaan kilang kopi dan pembangunan tanaman keladi Cina yang melibatkan pelbagai daerah di Sabah.
“Kesemua projek tersebut dilaksanakan dan diselia oleh Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) melalui Jabatan Pertanian Negeri Sabah (DOA Sabah) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sabah (DVS Sabah).
“Peruntukan tersebut secara tidak langsung memberi manfaat dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri Sabah seterusnya meningkatkan pendapatan dan membaiki taraf sosio ekonomi negeri tersebut,” ujarnya.
Mengulas mengenai pertemuan berkenaan, kementerian itu memaklumkan ia menjurus kepada kerjasama KPKM dengan Sabah bagi mengoptimumkan penggunaan tanah ke arah keterjaminan makanan negara serta kerjasama dalam melaksanakan projek pembangunan.
Jelasnya, ia meliputi pemerkasaan sektor ternakan, tanaman, aktiviti pengeluaran dan pemasaran produk hiliran di Sabah.
Menurut kenyataan itu, Mohamad dalam rangka lawatan kerja ke Sabah selama empat hari bermula Jumaat dan diiringi Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha dan pegawai-pegawai kanan KPKM.
“Lawatan ini turut melibatkan Konvoi Jelajah Road to Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) Sabah 2024 di Kota Kinabalu, Kota Belud, Kundasang, Telupid dan Sandakan.
“Sepanjang tempoh lawatan kerja, beberapa program akan diadakan seperti perasmian Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB IADA Kota Belud), lawatan ke Desa Dairy Farm, Akua Farm Mesilau dan Spa Tagal Luanti di Kundasang, sesi walkabout di Pasar FAMA Telupid dan sebagainya,” kata kenyataan itu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!