[VIDEO] Pemilihan Bersatu dijangka tiada pertembungan jawatan tertinggi - Muhyiddin
SELAYANG - [DIKEMAS KINI] Pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang akan berlangsung pada Oktober ini mungkin tiada pertembungan melibatkan jawatan tertinggi parti berkenaan.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan itu ketika merasmikan Konvensyen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang di sini pada Sabtu.
Muhyiddin berkata, dia sendiri telah bertemu dengan semua pimpinan tertinggi parti bagi mencari jalan penyelesaian bagi mengelak pertembungan.
“Mereka minta saya berperanan untuk berunding dan saya sudah dapat ilham supaya tiada pertembungan berlaku bagi untuk jawatan tertinggi parti
“Saya juga dah bincang dengan pemimpin tertinggi yang lain dan majlis tertinggi juga putuskan perkara yang sama, jadi saya telah jalankan tugas saya,” katanya.
Jelasnya keputusan sebulat suara itu membuktikan bahawa Bersatu adalah parti yang mempunyai semangat perjuangan, saling bantu membantu yang dapat memberikan gambaran baik kepada rakyat.
“Keputusan dah ada, saya akan umumkan dalam satu tempoh sebelum pencalonan itu, saya harap semua (ahli, perwakilan) dapat memberi sokongan 100 peratus kepada keputusan itu,” katanya.
Ujarnya, pemilihan parti ini mesti berjalan dalam semangat muhibah, jangan berpecah-belah, jangan bermusuh yang menang mesti pegang amanah. Manakala yang kalah mesti terus ada peranan dalam parti.
“Saya mahu parti kita menjadi lebih kuat selepas pemilihan parti. Kenapa? Kerana penggal pemilihan inilah yang akan menentukan kalah menang kita dalam PRU16.
“Ini bukan perkara main-main. Ini tentang survival parti kita. Ini tentang survival bangsa kita, tanah air kita dan agama kita.
Beliau dalam pada itu menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) menjadi pilihan raya umum yang amat sengit.
“Parti lawan yang menguasai kerajaan akan menggunakan apa sahaja cara untuk menekan kita dengan rakus dan mengubah tiang gol dengan penuh tipu daya.
“Ini termasuklah menggunakan proses persempadanan semula kawasan pilihanraya yang akan dilaksanakan sebelum PRU16 untuk memberikan kelebihan kepada parti mereka,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!