[VIDEO] Kerajaan takut kalah punca 6 kerusi Parlimen, DUN tidak diisytihar kosong - Muhyiddin

A
A
A

SELAYANG - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa Kerajaan Perpaduan takut mengisytiharkan kekosongan di enam kerusi Parlimen dan satu Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana bimbang berhadapan kekalahan.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, oleh kerana itu kerajaan sanggup melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan meskipun bertentangan asas perjuangan pihak tersebut selama ini.

“Kerana itulah mereka takut hendak mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN yang disandang oleh bekas ahli-ahli Bersatu yang berpaling tadah, walaupun tindakan itu bertentangan kehendak Perlembagaan Persekutuan.

“Mereka sanggup langgar peruntukan Perlembagaan yang mereka sendiri perjuangkan dan gubal kerana takut kalah.

“Saya tidak pernah lihat dalam sejarah politik saya, parti kerajaan boleh kalah dengan begitu teruk dalam sebuah PRK. Dengan segala kuasa yang ada, aneh mereka kecundang sebegitu rupa,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang, di sini pada Sabtu.

Muhyiddin ketika hadir pada Konvensyen Bersatu yang diadaka di IDCC Selayang pada Sabtu.
Muhyiddin ketika hadir pada Konvensyen Bersatu yang diadaka di IDCC Selayang pada Sabtu.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Bersatu telah menerima surat daripada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berhubung status enam bekas ahli Parlimen parti tersebut yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rentetan itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) memaklumkan, partinya akan mengambil langkah susulan dengan melantik pakar-pakar perundangan untuk tindakan susulan bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan parti.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan, parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan kini sedang rosak dan merosakkan sesama sendiri ekoran berbeza asas perjuangan.

Muhyiddin ketika berucap merasmikan Konvensyen Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang, di sini pada Sabtu.
Muhyiddin ketika berucap merasmikan Konvensyen Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang, di sini pada Sabtu.

Malah beliau mendakwa, ahli-ahli parti dalam kerajaan sedang mempertikaikan tindakan pemimpin yang sanggup menggadai prinsip perjuangan demi kepentingan peribadi.

“Ramai yang sudah berhijrah kerana tidak sanggup lagi bersekongkol dengan pemimpin yang mengkhianati perjuangan parti mereka.

“Ahli-ahli parti mereka sedang mencari wadah baharu yang boleh dipercayai, antaranya ialah Bersatu dan kita wajib menyambut mereka dengan hati terbuka atas dasar kebersamaan dalam perjuangan.

“Inilah yang membezakan antara kita dengan parti lawan (kerana) kita ada prinsip perjuangan. Mereka cuma mahukan kuasa yang diperolehi dengan cara tipu daya. Mereka sanggup menipu penyokong semata-mata untuk berkuasa,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!