Pekerja pembaikan maut terjatuh dari ketinggian 12 meter

Seorang pekerja maut selepas terjatuh dari ketinggian 12 meter ketika menjalankan kerja-kerja pembaikan alang dan bumbung di kilang pembuatan di Perai. Gambar hiasan
Seorang pekerja maut selepas terjatuh dari ketinggian 12 meter ketika menjalankan kerja-kerja pembaikan alang dan bumbung di kilang pembuatan di Perai. Gambar hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Seorang pekerja maut selepas terjatuh dari ketinggian 12 meter ketika menjalankan kerja-kerja pembaikan alang dan bumbung di kilang pembuatan di Perai.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Hairozie Asri berkata, kejadian berlaku pada jam 12.30 tengah hari Khamis lalu.

Menurutnya, mangsa yang merupakan bukan warganegara berusia 29 tahun itu disahkan meninggal dunia di hospital ketika diberi rawatan.

Katanya, selepas menerima aduan mengenai kejadian berkenaan, sepasukan pegawai penyiasat dari JKKP Pulau Pinang telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

"Hasil siasatan awal mendapati, mangsa merupakan pekerja kontraktor yang dilantik oleh kilang tersebut untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan alang dan bumbung di kilang tersebut.

"Sebelum kejadian, mangsa bersama tiga orang pekerja lain sedang menjalankan kerja-kerja mengetatkan nat pada alang besi di kawasan kemalangan tersebut.

"Mangsa dikatakan telah terjatuh ke lantai dari ketinggian 12 meter dan dikejarkan ke hospital berdekatan namun dilaporkan meninggal dunia di hospital," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut Hairozie, susulan itu, satu notis pemberhentian serta-merta ke atas kerja-kerja di kawasan kejadian di kilang tersebut dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.

Artikel Berkaitan:

"Pihak Jabatan juga telah mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan selain membuat pembentangan kes kepada Jabatan.

"Kita akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan, merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi saksi yang dikenalpasti serta lawatan susulan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil," jelasnya.

Kata beliau lagi, majikan bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

"Majikan yang mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja perlu membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan.

"Ini bagi menghapus atau mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan semasa aktiviti kerja dijalankan.

"Jabatan memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor. Kita juga sentiasa komited untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!