Guru langgar disiplin harus dikecuali naik pangkat secara 'time based'

Anwar Ibrahim. Foto Bernama
Anwar Ibrahim. Foto Bernama
A
A
A

BANGI - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, guru yang cuai, langgar disiplin dan prestasi lemah harus dikecualikan daripada kemudahan kenaikan pangkat secara 'time-based'.

Beliau berkata, kerajaan menerima prinsip kenaikan pangkat secara 'time-based', namun menegaskan bagi guru yang cuai dan lemah dari segi disiplin, kemudahan itu akan dibatalkan.

"Kalau disiplin (guru) lemah, kalau dalam setahun tak pergi sekolah banyak kali, saya nak batalkan (time-based).

"Jadi kita harus teliti, tapi saya percaya 90 peratus tak ada masalah," katanya ketika berucap di majlis sambutan Jubli Emas Penubuhan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), di sini pada Sabtu.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang.

Anwar berkata, tugas guru itu adalah untuk mendidik manusia sehingga adanya elemen kemanusiaan dalam diri masing-masing, maka seseorang itu mesti mempunyai rasa kasih dan sayang kepada guru.

"Saya sampai sekarang baik di Sekolah Cheruk Tok Kun, Bukit Mertajam Boys School, Malay College Kuala Kangsar dan Universiti Malaya (UM), saya tak pernah lupa dan penghormatan (terhadap) sumbangan guru kerana tanpa mereka selain ibu bapa, tidak mungkin (saya) bertapak, jika tidak disemai semangat itu," katanya.

Perdana Menteri berkata, sehubungan itu kebajikan para guru harus dipertahankan dan pada masa yang sama harus melakukan perubahan.

Artikel Berkaitan:

"Malaysia punyai keupayaan dan kapasiti untuk angkat martabat bangsa dan negara, contoh yang baik ekonomi, politik, sosial dan pendidikan, kerana kekuatan asas ada. Kalau nak meningkat tidak boleh dengan budaya lembab macam sekarang, mesti kena tegas," katanya.

Anwar seterusnya mengingatkan bahawa komitmen beliau dalam soal bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi serta dalam dasar pendidikan negara janganlah dipertikaikan, namun baginya tiada halangan untuk kembangkan bahasa Cina, Tamil, Arab atau bahasa lain, dan ruang sebaiknya akan diberikan.

Beliau berkata, untuk melonjakkan ekonomi negara, penekanan khusus perlu diberikan kepada penguasaan bahasa Inggeris dalam negara menuju ke arah transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI).

"Arahan saya pada Kementerian Pendidikan, tidak mahu lewat dan perlu ada kerangka segera tingkat penguasaan bahasa Inggeris supaya negara dapat bersaing. (Namun) Bahasa Melayu jangan kita remehkan, penguasaan dan mutu harus lebih baik dari sekarang kerana keupayaan anak perlu ada," katanya.

Merujuk kepada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), beliau berkata, skim itu adalah antara terbaik pernah diumumkan kerajaan dan beliau harap ia dapat meningkatkan prestasi perkhidmatan penjawat awam serta menghentikan amalan tidak baik.

Anwar berkata, meskipun rancangan itu mendapat kritikan pelbagai pihak namun ia tidak mengganggu komitmen kerajaan untuk melaksanakannya, memandangkan penjawat awam sudah 12 tahun tidak merasai kenaikan gaji.

Beliau berkata, dua cadangan NUTP akan dibawa untuk perbincangan melibatkan guru penolong di sekolah rendah gred DG48 dibenarkan memegang jawatan sebagai penolong kanan dan pengoperasian di sekolah rendah termasuk guru besar yang sudah naik ke gred DG52 secara time-based dibenar terus memegang jawatan itu sehingga ke gred DG54.

NUTP sokong guru lemah, cuai dikecualikan kenaikan pangkat secara 'time based'

Dalam pada itu, NUTP menyokong langkah kerajaan mengecualikan guru yang lemah, cuai dan melanggar disiplin daripada mendapat kenaikan pangkat secara 'time-based', bagi memastikan kualiti dan produktiviti guru setanding dengan gred yang dipegang mereka.

Aminuddin dalam menyokong pengumuman Perdana Menteri berhubung perkara berkenaan berkata, langkah itu juga perlu agar hanya guru yang benar-benar berkelayakan mendapat kenaikan pangkat.

"Dalam keadaan sekarang pun 'time-based' kita berasaskan kecemerlangan, bukan automatik. Kita ada elemen penilaian oleh ketua jabatan, masa naik pangkat kita tengok kriteria kecemerlangan, daripada segi markah, penilaian prestasi.

"Kita tidak mahu mereka yang tiada kualiti tiba-tiba naik pangkat, sama sebagaimana mereka yang berhempas pulas, jadi bagi memastikan aspek kecemerlangan pendidikan kita sokong pengumuman ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Jubli Emas NUTP di sini pada Sabtu.

Terdahulu Aminuddin dalam ucapannya meminta agar kerajaan menambah baik atau mengekalkan kenaikan pangkat secara 'time-based bagi golongan pendidik dalam Skim Saraan Baharu Perkhidmatan Awam yang akan diumum kelak.

Beliau berkata, sistem berkenaan adalah antara inisiatif terbaik yang diwujudkan kerajaan sejak sekian lama, yang membantu kira-kira 450,000 pendidik seluruh negara mendapat kenaikan pangkat setelah mencapai tempoh tertentu dalam perkhidmatan.

"Mengapa kerajaan wujud ‘time-based’ kepada guru - kerana kita ada 450,000 guru, sekolah kita hanya ada 10,223 buah sahaja. Kalau tak ada 'time-based' daripada 450,000 guru itu, hanya sedikit sahaja guru boleh naik pangkat, contohnya masuk dengan gred DG29 kerja 33 tahun, keluar (pencen) dengan DG29 juga,” katanya.

Ditubuhkan pada 1974, NUTP adalah hasil gabungan dua kesatuan guru iaitu National Union of Teachers (NUT) dan Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Sekolah Kebangsaan (KKGGSK) dan berfungsi sebagai sebuah kesatuan pembela profesion perguruan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!