Tiga pekerja selenggara maut, seorang cedera dirempuh

Kesemua mangsa dipercayai sedang melakukan kerja penyelenggaraan sebelum dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan dekat Kilometer 3.1 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) di sini, pada Sabtu.
Kesemua mangsa dipercayai sedang melakukan kerja penyelenggaraan sebelum dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan dekat Kilometer 3.1 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) di sini, pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga pekerja syarikat penyelenggaraan maut manakala seorang lagi cedera dirempuh kereta di Kilometer 3.1 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Waja dari arah Damansara dipercayai telah hilang kawalan.

"Kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan itu kemudiannya melanggar penghalang air dan pembahagi tengah lebuh raya sebelum merempuh kesemua mangsa yang sedang melakukan kerja-kerja di lebuh raya tersebut.

"Kemalangan mengakibatkan tiga lelaki warga India maut manakala seorang lelaki warga Bangladesh cedera ringan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, kesemua mangsa yang maut dan cedera berusia lingkungan 24 hingga 29 tahun itu dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, pemandu kereta Proton Waja itu telah ditahan untuk membantu siasatan lanjut polis.

"Ujian darah dan air kencing dijalankan terhadap individu berumur lingkungan 20-an itu untuk pemeriksaan kandungan alkohol dan dadah.

"Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca dan sebab kematian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Iqbal berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Asisten Superintenden Raja Mahadi Raja Mahmudin di talian 012-3097660," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!